REEN sebagai Tengku Zarina, terharu dengan peluang berlakon filem arahan Mak Nani.
REEN sebagai Tengku Zarina, terharu dengan peluang berlakon filem arahan Mak Nani.

Besar sungguh harapan Datuk Rosnani Jamil terhadap filem terbaru arahannya ini. Bukan hanya sanggup melalui pelbagai cabaran dan dugaan di lokasi, malah berhabis wang simpanan untuk merealisasikan impiannya itu. Mungkin juga ini buah tangan terakhirnya sebelum menutup mata yang tiada siapa tahu bila tiba saatnya.

Rosnani atau mesra dengan panggilan Mak Nani, bergelar pengarah pada 1986 melalui Mawar Merah yang juga produksi sulung syarikatnya, RJ Film kemudian menghasilkan Antara Dua Hati (1989), Memori (1992), Amelia (1996), Bicara Hati (2004) dan kini kembali dengan Mawar Putih yang bakal menjengah pawagam tahun ini.

Ketika usia mencecah angka 80 pada 20 Januari ini, mungkin sesuatu yang sangat mengagumkan Mak Nani masih terdaya memikul tanggungjawab besar di lokasi sebagai pengarah. Namun, demi cintanya pada dunia seni, dia sanggup lakukan semua itu.

Menyelami hati kecil Mak Nani, sebenarnya dia menghasilkan filem ini sebagai tanda kasih dan penghargaan buat suami tercinta, Datuk Jamil Sulong yang dijemput Ilahi pada 25 September 2014 pada usia 88 tahun.

Tanpa mengharap bantuan dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebagaimana kebanyakan penerbit lain, berbekalkan wang simpanan sindiri, Mak Nani memulakan penggambaran Mawar Putih pada 17 Ogos lalu di Kuala Lumpur dan selesai penggambaran pertengahan September lalu.

Lokasinya juga di luar negara, di tanah kelahirannya di Padang dan Bukit Tinggi, Sumatera. Mawar Putih juga melengkapkan profil seni Mak Nani apabila menulis lirik untuk lagu tema filemnya, Cinta Dan Airmata ciptaan S Atan.

Bermula sebagai pelakon kemudian penulis skrip, penerbit dan pengarah, peluang menulis lirik dianggap kepuasan besar buat dirinya.

Lebih menarik, Mak Nani juga berjaya membawa kembali penyanyi 1980-an, Datin Ramziela yang popular dengan lagu Gemilang Cinta ke studio rakaman selepas agak lama menyepi.

Mak Nani terharu kerana diberi kesempatan untuk terus berkarya sekali gus menjadi satu-satunya anak seni seangkatan yang masih aktif.

Bagaimanapun kini apabila filemnya siap dan menunggu dihantar ke Lembaga Penapis Filem (LPF) seterusnya Syarat Wajib Tayang, Mak Nani akui berhadapan masalah. Katanya, masih ada bayaran yang perlu diperjelas sedangkan wang simpanan sudah habis.

Akhirnya Mak Nani terpaksa meminta bantuan dana. Katanya, selama bergelar penerbit dan pengarah, dia tidak pernah meminta bantuan dana daripada FINAS tetapi kini terpaksa menebalkan muka meminta sedikit bantuan.

Bukan juta-juta yang diminta, cukuplah sekitar RM300,000 untuk menjelaskan hutangnya dan sedikit bajet untuk promosi nanti.

Katanya, Mawar Merah permulaan cerita manakala Mawar Putih menutup cerita. Skripnya sudah lama dihasilkan malah mendapat bantuan dan sokongan suami. Kini apabila Pak Jamil tiada, impiannya mahu melihat skrip dihasilkan bersama itu terbentang di layar perak.

Pemilihan pelakon juga kalangan anak seni yang sudi bekerja dengannya. Harapkan nama besar, dia tidak mampu membayar harga diminta. Harapkan pelakon popular, tiada kata putus diterima.

Akhirnya hati kecil Mak Nani kembali berbunga apabila lamaran kepada pelakon drama, Reen Rahim disambut dengan besar hati. Mak Nani terharu apabila Reen meluahkan rasa bangga dan besar hati diberi peluang bekerja dengannya.

Jelas Reen, bukan harga yang ditanya tetapi luahan kata terharu diberi peluang, begitu juga dengan Arja Lee.

Dengan merendah diri, Mak Nani mengatakan karyanya biasa-biasa saja dan bukanlah filem seni. Dari segi teknik, katanya, mungkin lebih bagus daripada Mawar Merah tetapi dari segi lakonan tidak mungkin menandingi kehebatan Allahyarham Mustaffa Noor yang menang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7) menerusi lakonan mantapnya sebagai Sufyan, bapa saudara yang mencintai anak gadis kakaknya sendiri, lakonan Raja Ema.

Jika Mawar Merah dianggap permulaan cerita, Mawar Putih pula sebagai penutup. Ia mengisahkan cinta dua darjat di antara Irwan yang merantau ke Malaysia dan berkahwin dengan Tengku Zarina.

Pergolakan bermula apabila anak mereka, Aidil bercinta dengan gadis Padang, Cinta tetapi ada sesuatu yang membuatkan Aidil dan Cinta tidak mungkin dapat bersatu.

Kita nantikan sentuhan emas daripada Mak Nani sekali gus menyaksikan drama percintaan dua darjat lakonan Reen Rahim. Semoga laluan Mawar Putih menjengah ke pawagam dipermudahkan dan mendapat bantuan diharapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:04 AM