Noor Azam  (empat dari kanan) menyerahkan baju MTBGP kepada  Azman  (tiga dari kiri)  di MDHS, Kuala Kubu Bharu, semalam.
Noor Azam (empat dari kanan) menyerahkan baju MTBGP kepada Azman (tiga dari kiri) di MDHS, Kuala Kubu Bharu, semalam.
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017 (HMMTBGP) akan melengkapkan siri ketiga penganjurannya di trek Sungai Buaya di sini pada 2 Disember ini.

Seramai 1,300 peserta dari dalam dan luar negara dijangka berentap merebut gelaran bagi kategori masing-masing di laluan mencabar sepanjang 38.7 kilometer.

Pengarah Teknikal HMMTBGP, Noor Azam Abd Aziz berkata, kejuaraan siri ketiga itu pelengkap kepada siri pertama dan kedua yang diadakan di Bukit Merah, Perak pada 29 Julai lalu dan di Kerteh, Terengganu, 7 Oktober lalu.

“Lima kategori dipertandingkan iaitu junior lelaki, terbuka lelaki, junior master lelaki, senior master lelaki dan terbuka wanita.

“Semuanya menawarkan hadiah wang tunai bagi setiap kategori dan wang tunai bagi tiga pemenang grand prix,” katanya yang juga Pengarang Berita HM ketika ditemui selepas Taklimat HMMTBGP 2017 di Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) di sini semalam.

Taklimat itu dipengerusikan Setiausaha Majlis Daerah Hulu Selangor Azman Dahlan.

Turut hadir, Pengurus Projek HMMTBGP 2017 yang juga Eksekutif Kanan Bahagian Aktiviti Penjenamaan, Jabatan Pemasaran The New Straits Times Press (NSTP) Berhad Mahamad Zaidi Mat Noor, Ketua Biro Harian Metro Selangor Fuad Hadinata Yaacob dan Pengurus Cyclomotion Zahari Abdul Ghani.

Noor Azam berkata, HM MTBGP 2017 berjaya menarik penyertaan pelumba basikal lasak tempatan dan luar negara yang secara langsung mempromosikan pelancongan sukan di negara ini.

Sementara itu, Azman berkata, MDHS menyambut baik usaha Harian Metro menganjurkan program seumpama itu dan memilih Hulu Selangor sebagai lokasi penganjuran siri ketiga HM HMMTBGP 2017.

“Ini menarik lebih ramai pelumba basikal lasak untuk datang ke daerah ini dan merasai pengalaman berbasikal di dalam trek yang berbukit dan mencabar.

“Diharap penganjuran kali ini bukan yang terakhir malah akan terus menjalin kerjasama untuk mengetengahkan lebih banyak destinasi pelancongan di daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 2:14 AM