Ibrahim Isa


Johor Bahru: Persatuan Sukan Tenpin Bowling Johor (PSTBJ) memberi jaminan akan memastikan Kejohanan Bowling Best Harian Metro di Sahara Bowling Centre di Angsana Johor Bahru Mall pada 23 hingga 25 Mac ini.

Kejohanan itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-26 Harian Metro, berjalan lancar.

Setiausaha PSTBJ Abdul Razak Mohamad berkata, berbekalkan pengalaman ahli persatuan, pihaknya yakin dapat membantu sekretariat Harian Metro dan kakitangan Sahara Bowling Centre sepanjang tiga hari kejohanan terutama dalam perjalanan permainan, kutipan mata dan bantahan pemain.

“Selepas meneliti lorong bowling di Sahara Bowling Centre, kami yakin semua peserta akan dapat beraksi dengan baik dan hanya perlu memberikan tumpuan terhadap balingan masing-masing.

“Kami dapati Sahara Bowling Centre mempunyai 20 lorong namun hanya akan menggunakan 16 lorong pada satu-satu masa bagi memastikan permainan tidak tergendala jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Pada masa sama, kami akan meminta pakar teknikal dan kiraan mata yang berpengalaman luas, termasuk di peringkat kebangsaan dan Asia untuk membantu pengurusan Sahara Bowling Centre membuat kiraan di setiap hujung balingan bagi memastikan ketepatan mata dicatat,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Kejohanan Bowling Best Harian Metro bermula 23 hingga 25 Mac ini menawarkan pelbagai hadiah menarik, cabutan bertuah dan konsert mini pada hari terakhir kejohanan.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM1,000, pingat dan hamper; naib juara (RM700, pingat dan hamper) dan ketiga (RM600, pingat dan hamper.

Tempat keempat (RM500, pingat dan hamper) manakala kelima hingga ke-10 (RM200, pingat dan hamper).

Selain hadiah, peserta berpeluang memenangi cabutan bertuah selain berhibur dengan persembahan Wani, Bandi Amuk dan kumpulan Jumero pada mini konsert sebelum majlis penyampaian hadiah.

Pendaftaran dibuka sekarang dan setiap pasukan hanya dikenakan yuran RM150.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:12 AM