SIMBOLIK penyerahan tajaan Faizal (tengah) kepada Rudy.
SIMBOLIK penyerahan tajaan Faizal (tengah) kepada Rudy.
Rudy Fazrunisyam Samarudin


Johor Bahru: Hotel M Suites Johor Bahru menjadi penginapan rasmi Kejohanan Bowling Best! Harian Metro yang berlangsung di Sahara Bowl & Cafe, Angsana Johor Bahru Mall pada 23 hingga 25 Mac ini.

Tajaan bilik penginapan urusetia dan artis undangan kejonanan sempena ulang tahun Harian Metro Ke-26 itu sebagai tanda sokongan dan hubungan rapat terjalin sejak sekian lama.

Penolong pengurus Hotel M Suites Johor Bahru Faizal Sulaiman berkata pihak mereka berbesar hati menjadi rakan penaja Kejohanan Bowling Best! Harian Metro.

Katanya, tajaan lapan bilik yang membabitkan suite tiga bilik tidur dan selebihnya studio, sememangnya menjanjikan keselesaan kepada petugas sepanjang empat hari berkampung di situ.

“Penajaan ini diharap dapat mengeratkan hubungan antara pihak hotel dan Harian Metro yang selama ini banyak menyokong kami,” katanya ketika menyerahkan penajaan kepada Ketua Biro Harian Metro Johor Rudy Fazrunisyam Samarudin di sini, semalam.

Kejohanan Bowling Harian Metro kembali selepas lebih 10 tahun tidak dianjurkan sekali gus memberi peluang kepada peminat sukan itu beraksi dan membawa pulang hadiah lumayan.
Penganjur menyasarkan 100 pasukan membabitkan 300 pemain mengambil bahagian dengan pusingan saringan diadakan bermula Khamis dan Jumaat depan.

Hanya 10 pasukan teratas akan bertanding pada pusingan akhir 25 Mac ini dengan juara membawa pulang RM1,000, pingat dan hamper, naib juara (RM700, pingat dan hamper) dan ketiga (RM600, pingat dan hamper).

Tempat keempat (RM500, pingat dan hamper) manakala kelima hingga ke-10 (RM200, pingat dan hamper).

Selain kejohanan bowling di Sahara Bowl, konsert mini menampilkan barisan artis tempatan Wani, Bandi Amuk, Siti Nordiana dan kumpulan Jumero turut diadakan pada hari terakhir kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 9:34 AM