'TWIST' daripada pasukan bertanding
'TWIST' daripada pasukan bertanding
AKSI meyakinkan pasukan Carlyx.
AKSI meyakinkan pasukan Carlyx.
COMEL aksi pasukan Lynx
COMEL aksi pasukan Lynx
CERIA pasukan Heromitez sebaik diumumkan pemenang divisyen All Girls Group Stunt.
CERIA pasukan Heromitez sebaik diumumkan pemenang divisyen All Girls Group Stunt.
Oleh Nurul Husna Mahmud

Pasukan sorak atau sering dikenali ‘pom pom girl’ selalunya dilihat sebagai gadis manis berskirt mini membawa ‘prop’ untuk memeriahkan suasana padang.

Peranan mereka lebih kepada tukang melaungkan semangat buat pasukan mahupun penyeri kepada acara gelanggang. Jarang sekali mereka dilihat sebagai persembahan utama atau ‘bintang’ dalam acara gelanggang.

Hakikatnya tugas mereka bukan mudah. Selain tarian mengikut irama menjadi latar muzik mereka, mereka perlu juga menyuntik elemen ‘wow’ menerusi beberapa gerakan wajib seperti piramid manusia mahupun rutin dinamik bakal memberi mata bonus.

Itu antara perkara dinilai dalam kejohanan CHARM Cheerleading Championships dianjurkan oleh Persatuan Pasukan Sorak Malaysia atau lebih dikenali sebagai Cheerleading Association and Register of Malaysia (CHARM).

Menurut Presiden CHARM yang juga Ketua Setiausaha untuk Asian Cheer Union, Beverly Hon, setiap tahun pihaknya akan menganjurkan kejohanan sorak dalam mengasah mahupun mencungkil bakat penggiat mahupun ahli pasukan sorak

Katanya, kalau di arena antarabangsa, disiplin kegiatan itu setaraf dengan sukan mahupun acara persembahan lantai lain seperti akrobatik mahupun gimnastik.

Jadi pada peringkat tempatan, peranan pihaknya dalam mengangkat sukan ini menerusi beberapa inisiatif termasuk pe­nganjuran CHARM Cheerleading Championships, satu-satunya membabitkan pasukan sorak.

“Kejohanan ini mempunyai nilai tersendiri bagi pasukan sorak di Malaysia. Ini kerana menerusi pertandingan ini mereka dapat mengukur tahap kemampuan selain melihat ‘trick’ terbaru antara pesaing mereka.

“Tahun ini kejohanan ini berlangsung selama dua hari di pusat beli-belah The Curve Mutiara Damansara selaku penaja rasmi kami tahun ini.

“Pertandingan kali ini berjaya menarik lebih 1,000 ahli sorak daripada 70 pasukan berentap dalam 15 divisyen yang tawarkan.

“Menariknya mereka bukan saja berentap di peringkat kebangsaan malah berpeluang bersaing dengan pasukan luar dari Singapura yang hadir sebagai pencabar jemputan.

“Secara tidak langsung, mereka boleh memperkasakan skil masing-masing termasuk tahu kecenderungan serta kemampuan dalam memberi suasana pertandingan sengit antara satu sama lain,” katanya.

Tambah Beverly, kejohanan dianjurkan mengikut standard penilaian serta ciri keselamatan antarabangsa.

“Prestij pertandingan ini adalah kualiti segi kaedah penilaian juri apabila menggunakan standard antarabangsa.

“Pertandingan ini mendapat kebenaran Kesatuan (ICU) International Cheer dan disokong oleh Kesatuan (ACU) Cheer Asia. Secara tidak langsung hakim kejohanan kali ini diiktiraf ICU diterbangkan dari Taiwan, Singapura, Indonesia dan Filipina bagi menilai pasukan berentap.

“Pemarkahan mengikut sistem ‘point’ dan mereka yang mengumpul mata terbanyak setiap kategori dinamakan sebagai pemenang,” katanya.

Pemenang divisyen All Girl Group Stunt, pasukan Heromitez tidak menyangka penantian selama tiga tahun bernoktah pada kejohanan kali ini.

Menurut wakil pasukan berkenaan, Heng Sin Yi, juga sebagai ‘back spot’ pasukannya berkata, dia tidak menyangka pasukannya dapat mengalahkan lima pasukan lain dan mengungguli divisyen terbabit.

“Secara peribadi saya berasa faktor kemenangan kami kali ini adalah komitmen setiap ahli pasukan saya, Amirah Yang Farhanah Mohd Reza, Ng Mun Yi serta Farah Nabila Shahrin cukup tinggi menjayakan setiap formasi.

“Malah tugas Yi dan Farah selaku ‘base’ cukup berpengalaman serta kuat memberikan kami kelebihan sebagai antara pasukan kuat untuk saingan kali ini.

“Namun begitu, kami tidak menafikan saingan daripada pasukan lain cukup sengit terutama dua pasukan tangga teratas CA Awesome Divas dan CA Awesome Divas Daredevils yang mempunyai reputasi tersendiri daripada kejohanan sebelum ini,” katanya.

Tambah Yi lagi selain tentangan kuat, cabaran ketika membuat persiapan bagi kejohanan lebih mencabar.

“Kami terdiri daripada dua pasukan berlainan. Sebahagian kami ialah daripada pasukan Hero, dua lagi daripada pasukan Mitez. Jadi kami bersatu sebagai Heromitez.

“Kami perlu cari keserasian serta melatih rutin. Pada awalnya sukar mencari lagu boleh mengiringi kiraan untuk persembahan formasi kami.

“Mujur kami membuat perubahan dalam pilihan lagu selain menyesuaikan persembahan dengan kiraan yang hampir sempurna memastikan persembahan lancar,” katanya.

Bagi kapten pasukan Cheers Aces, Kevin Lim Kien Foong selain teruja dapat membuat sorakan terhadap penonton, dia turut berdebar.

“Tentu saja gembira dapat tampil bersama ahli pasukan untuk kejohanan kali ini. Cuma mulanya gemuruh sebab suasana kejohanan cukup luar biasa.

“Bayangkan sebelum kami masuk ke gelanggang, dengar riuh rendah suara orang ramai menantikan persembahan kami. Sedikit tekanan tetapi itu mendorong kami dari pasukan Cheers Aces untuk lakukan terbaik,” katanya.

Hadir dalam kumpulan besar yang melakukan pelbagai rutin serentak, Kevin berkata itu satu cabaran buat pasukannya.

“Pada kejohanan ini, kumpulan saya disertai seramai 19 ahli kumpulan. Agak mencabar tetapi bagi saya itu sesuatu baik apabila semua ‘stunt’ yang kami lakukan berjaya dipamerkan di lantai pertandingan,” katanya.

Sementara itu, wakil pemenang divisyen All Girl Level 3 (Small), Calyx Junior, Rachel Yap gembira apabila setiap rutin dilatih berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

Katanya yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik Petaling Jaya, berbaloi apabila latihan berat dilakukan sebelum menjelang pertandingan berjaya membuahkan hasil menerusi kemenangan terbabit.

“Kami memilih lagu terbaru dan ‘catchy’ sesuai dengan persembahan kami yang rancak. Latihan kami mulakan sejak Jun dan kami berlatih dengan kuat setiap hari.

“Saingan kuat ketika itu ialah Rayven pada pandangan saya kerana ‘flow’ termasuk rutin ‘terbang’ serta lantainya cukup seragam. Namun kami bertekad buat sehabis baik dan berseronok sepanjang pertandingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:02 AM