TIDAK gentar membuat rutin sukar.
TIDAK gentar membuat rutin sukar.
AKSI lincah peserta ketika memberi tentangan hebat kepada lawan.
AKSI lincah peserta ketika memberi tentangan hebat kepada lawan.
TENDANGAN tinggi peserta ke udara.
TENDANGAN tinggi peserta ke udara.
AKSI hebat Aramy.
AKSI hebat Aramy.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Tendangan tinggi dan balik kuang silih berganti antara gerakan menarik dipamerkan peserta Pertandingan Trickelaysia 2015 di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa baru-baru ini.

Gerakan mereka seperti tendangan serta adakalanya gerakan tangan seperti tumbukan mahupun hayunan tangan bagai dalam seni mempertahankan diri karate selain kombinasi pelbagai ‘bunga’ dalam gerakan cabang seni lasak itu.

Bukan itu saja, adakalanya gerakan mereka seperti ahli akrobatik mahupun pelari bebas lincah di lantai berjaya menarik perhatian pengunjung memberikan sorakan padu sebagai tanda sokongan.

Menurut juri kejohanan itu selaku antara individu pelopor dalam seni ‘tricking’ terbabit, Khairi Husni, sukan itu asalnya daripada seni mempertahankan diri.

“Sukan ini kombinasi gaya bebas dan seni mempertahankan diri. Tidak hairanlah aksi dinilai pada setiap peserta membabitkan ciri penting antaranya ialah tendangan.

“Seterusnya barulah ‘flow’ mahupun dinamik dalam persembahan membabitkan pembukaan mahupun cara peserta menutup gelanggang.

“Selain itu seperti mana-mana acara lantai termasuk tarian, acara tricking ibarat sebuah penceritaan, jadi perlulah lancar termasuk cara mereka mendarat apabila membuat lompatan. Jadi itu membezakan kualiti persembahan antara satu peserta dengan peserta lain,” katanya.

Mengenai jagoan dalam arena itu, Khairi berkata, ramai penggiat dari Barat boleh dijadikan rujukan.

“Mereka begitu ‘ghairah’ dengan sukan ini, mungkin atlet ‘tricking’ seperti Anis Cheurfa, Jeremy Marinas serta Daniel Graham antara terbaik dalam kedudukan dunia boleh dijadikan rujukan,” katanya.

Bagi peserta acara berkumpulan, Muhammad Danial Ardzi berkata, dua minit yang diberikan pada sesi penilaian juri digunakan sebaiknya.

“Sukan ini mempunyai ‘style’ tersendiri dan saya bersama dua lagi ahli pasukan, Taufik Hidayat dan Taufik Ismail perlu kekal harmoni dalam gerakan agar langkah kami untuk membuat tendangan, lompatan serta balik kuang nampak serasi.

“Kami membuat latihan sekurang-kurangnya dua jam di kawasan terbuka atau gimnasium milik bapa saudara untuk memperkemaskan gerakan.

“Nampak saja tendangan mahupun tumbukan hanya angin, tetapi sebenarnya ia perlu dilakukan dengan betul agar nampak seperti rutin sebenar. Ia bukan sekadar persembahan tetapi sebagai sukan mampu menyihatkan badan

“Lihat saja tempoh dua minit diberikan kepada kami sudah memadai membuatkan kami berpeluh,” katanya.

Peserta dari Johor Bahru, Mohamed Aramy Nordin, sanggup merentas negeri semata-mata untuk menyertai acara berkenaan.

“Bukan hadiah menjadi pendorong saya mengharung perjalanan selama lima jam sebaliknya teruja bertemu dengan peserta lain membuatkan saya sanggup turun ke Kuala Lumpur untuk bertanding.

“Dalam acara sebegini kami boleh saling berkongsi skil dan kemahiran. Tidak ramai sedar akan kewujudan aktiviti ini. Jadi kumpulan kami masih kecil.

“Justeru, kejohanan seperti ini penting bukan saja memberi kesedaran mengenai kewujudan kami tetapi membantu meningkatkan skil bagi atlit tricking sedia ada,” katanya.

Aramy berkata minatnya pada sukan ‘tricking’ bercambah atas pengaruh anime mahupun animasi Jepun.

“Saya terdorong untuk menceburi dalam sukan ‘tricking’ kerana minat terhadap seni mempertahankan diri dari Jepun, ninja.

“Maklumlah masa kanak-kanak saya gemar membaca komik Jepun dan menonton animasi hingga terbawa-bawa sehingga ke dewasa. Saya lihat ia tidak memberikan kesan buruk sebaliknya membuatkan saya berusaha mengekalkan kecergasan diri dalam sukan ekstrem ini,” katanya cukup menonjol dalam kejohanan terbabit.

Sementara itu, menurut kru bahagian teknikal kejohanan, Ad’dirul Aliff Badrul Hisham, penganjuran kejohanan itu diharap mengembangkan lagi pengaruh komunitinya yang sudah wujud sejak 2009.

Katanya meskipun mereka dalam kelompok kecil, setiap negeri mempunyai pengikut tersendiri yang komited terhadap seni itu.

“Sambutan cukup menggalakkan apabila kejohanan terbuka kami adakan kali ini mendapat perhatian 16 individu perseorangan serta empat kumpulan bertanding. Jika sebelum ini kami hanya mendapat penyertaan tujuh orang saja, kali ini sesuatu baik berlaku apabila jumlah meningkat lebih 100 peratus.

“Justeru pada penganjuran akan datang kami berharap, menerusi landasan ini ada jagoan lahir mampu memberi saingan kepada kejohanan peringkat antarabangsa bermula peringkat Asia hinggalah dunia.

“Itu harapan kami untuk jangka masa panjang,” katanya mewakili Tricking Malaysia selaku penganjur dalam program terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:02 AM