PEMILIK Gim Keatkhamton dari Thailand Teerawat Chukorn (kiri) bercakap pada sidang media sempena perlawanan Muay Thai Kuala Lumpur International Fight hari ini.
PEMILIK Gim Keatkhamton dari Thailand Teerawat Chukorn (kiri) bercakap pada sidang media sempena perlawanan Muay Thai Kuala Lumpur International Fight hari ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kehadiran peserta ternama Thailand, Sudsakorn Sor Klinmee menjadi tarikan utama pertembungan Muay Thai profesional bertaraf antarabangsa sempena penganjuran Kuala Lumpur International Fight di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Acara yang berlangsung selama dua hari bermula esok, membabitkan 13 jaguh dari 26 peserta profesional tempatan dan luar negara seperti Thailand, Indonesia, Morroco, Perancis, Kemboja dan Iran.

Perlawanan tumpuan bakal menyaksikan pertarungan Sudsakorn yang menjuarai pertarungan Lion Fight Middleweight 2020 menentang lawan dari Iran, Hossein.

Status Sudsakorn yang cukup terkenal kemampuannya menguasai pentas pertarungan dengan rekod 294 kemenangan dan 77 knockout (KO) mampu menyajikan satu pertarungan sengit.

"Setiap pertarungan bukan mudah. Siapa saja boleh menang. Saya tak sabar untuk beraksi di sini dan berjanji untuk beri yang terbaik. Bila turun ke dalam gelanggang, saya tidak pernah fikir akan menang dengan mudah kerana hanya mereka yang berlatih dengan baik akan jadi terbaik," katanya yang turut memuji kemampuan peserta tempat yang mempunyai potensi besar di peringkat antarabangsa.

Sementara itu penganjur kejohanan merangkap Presiden Hallo Fight Lab, Mohd Hazrul Mohd Sapri berkata, objektif penganjuran menjadikan penganjuran itu sebagai platform kejohanan antarabangsa selain mempromosikan Malaysia sebagai venue sukan antarabangsa.

"Menjadi harapan kami agar program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan berhasrat untuk menganjurkan pertandingan sebagai siri jelajah ke serta negeri kerana ia mampu menjadi platform buat atlet Muay Thai Malaysia ke peringkat antarabangsa," katanya.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan pertarungan itu boleh mendapatkan tiket dengan harga serendah RM30 untuk dewasa dan percuma bagi kanak-kanak bawah 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 7:45 PM