TIDAK mudah mengimbangi basikal.
TIDAK mudah mengimbangi basikal.
HEBAT mengimbangi badan.
HEBAT mengimbangi badan.
SEBAHAGIAN peserta yang hadir.
SEBAHAGIAN peserta yang hadir.
MEMUTARKAN basikal sambil berdiri atas tayar.
MEMUTARKAN basikal sambil berdiri atas tayar.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Pusingan 360 darjah laju di atas satu tayar antara babak menarik buat sesiap saja terpegun menyaksikan BMX Flatland di PJ Fair baru-baru ini.

Meskipun terletak di dataran bawah bangunan Plaza Sunken Petaling Jaya, ramai mengerumuni lokasi pertandingan bagi menyaksikan aksi berani penunggang basikal berkenaan.

Membariskan penunggang bertaraf expert dan profesional, kehangatan bertambah sengit apabila masing-masing menampilkan skil serta kreativiti jarang diperlihatkan dalam mana-mana acara.

Menurut wakil penganjur Aznan Abdul Aziz pihaknya menyasarkan 40 penyertaan dalam acara terbuka berkenaan.

“Acara ini lebih kepada kejohanan mengumpulkan kalangan ahli komuniti yang mahu memeriahkan sukan ini. Sesuatu yang menarik saya lihat dalam acara begini, kehadiran ahli lama kembali turun berkecimpung serta muka baru bergaul dalam satu acara.

“Mereka bukan saja bertanding malah berkongsi tip dalam menaik taraf skil. Kehadiran mereka bukan mengejar hadiah tetapi lebih kepada tanda keghairahan terhadap sukan ini,” katanya.

Penunggang dari Johor Bahru, Nurhazme Jainis berkata, meskipun kejohanan bukan skala besar seperti kejohanan utama di luar negara, ia mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Ini boleh dikatakan acara menyokong penunggang tempatan untuk terus asah bakat serta skil mereka. Biarpun kejohanan ini lebih kepada slot kecil, jika diperhatikan kehadiran penunggang yang rata-ratanya senior mahupun mereka sudah lama terbabit dalam sukan ini.

“Contohnya kelibat penunggang otai ‘Mat Dagu’ seakan-akan menyuntik semangat kepada penunggang yang masih mencuba dalam sukan ini.

“Satu pencapaian menggembirakan apabila dalam pertandingan ini saya berjaya mendapat tempat ketiga,” katanya.

Katanya, berkhidmat sebagai anggota bomba di Johor Bahru memberinya kesempatan membuat latihan sebelum turun ke PJ Fair.

“Sebelum turun sini, saya sempat membuat latihan selama dua minggu dan sebagai penunggang basikal lasak acara BMX Flatland persiapan sangat penting bagi hasil konsisten.

“Ini berkait dengan disiplin. Baik acara besar mahupun kecil, latihan cukup penting selain mempelbagaikan diri dengan ‘trick’ baru.

“Jadi ketika ini saya merujuk dengan YouTube dan Vimeo untuk memvariasikan ‘trick’ yang ada,” katanya.

Manakala bagi penunggang berasal dari Kuching Sarawak, Azrin Arimi, bertanding dalam acara itu bersama penunggang legenda tempatan ialah satu kebanggaan. Malah dia muncul bersama kostum comel berwarna biru merubah keceriaan ketika kejohanan berlangsung.

Katanya, meskipun berdepan kesukaran mengenakan kostum sambil mengendalikan basikal, dia masih teruja dapat menyertai pertandingan terbabit.

“Dalam pertandingan kali ini meskipun beberapa ‘trick’ kurang menjadi tetapi saya tetap dapat bergembira dengan kawan berkongsi minat sama dalam sukan berkenaan.

“Saya berharap dapat memperbaiki skil dan mereka ‘trick’ terbaru untuk kejohanan akan datang,” katanya pernah menyertai acara BMX Kobe Jepun pada awal tahun lalu.

Dia menyimpan harapan pihak tertentu berinisiatif membantu dalam membangunkan sukan seperti mana Jepun mempunyai akademi sukan BMX sendiri. Manakala buat pemenang tempat pertama Hafiz Abd Wahab berkata, dia bersyukur memenangi tempat pertama.

“Saya menjangkakan dapat tiga tempat teratas berdasarkan persembahan saya konsisten. Tidak sangka saya dapat mengekalkan rentak persembahan sehingga ke pusingan akhir berbanding peserta lain ada kalanya sedikit ‘cempeng’.

“Anggaran saya dalam dua pusingan akhir jika saya mengekalkan gerak sempurna, berjaya buat ‘trick’ seperti dirancang dalam tempoh dua minit untuk setiap pusingan, saya dapat mendahului mereka. Tidak sangka ia menepati jangkaan. Ia berkait dengan rezeki juga,” katanya.

Untuk pertandingan akan datang, dia berharap pihak swasta mahupun kerajaan akan bersikap terbuka terhadap penunggang basikal lasak sepertinya.

“Selaku penggiat sukan BMX, kami mengharapkan sukan ini terus berkembang serta mendapat sambutan meriah. Selain itu harapan besar kepada pihak kerajaan mahupun swasta menyokong serta membantu meningkatkan kredibiliti penggiat sukan seperti kami,” katanya mengakui terpaksa mengeluar duit sendiri untuk kejohanan luar negara.

Sementara itu juri kejohanan, Ahmad Kamal Kamaruddin berkata dia sedikit kesal dengan nasib penggiat basikal BMX tempatan kurang mendapat perhatian pihak tertentu.

“Saya secara langsung sudah bergiat lebih 15 tahun dalam sukan ini serta banyak menyertai acara luar berasa terkilan dengan nasib penggiat sukan alternatif ini.

“Maklumlah negara kita banyak penunggang berbakat tetapi kurang berpeluang untuk diketengahkan ke kejohanan lebih besar kerana kekurangan dana untuk penyertaan kejohanan bertaraf dunia.

“Secara peribadi pengamatan saya, penunggang kita antara dua terbaik dalam senarai penunggang di Asia Tenggara selepas Thailand.

“Jadi bayangkan kalau lebih banyak kejohanan diadakan dalam negara menawarkan habuan lebih besar untuk merangsang sukan ini, saya rasa lebih berkembang.

“Setakat ini kalau penunggang profesional perlu bergelut baik dalam penajaan serta hadiah habuan tidak setara dengan kemahiran mereka, saya rasa ini tidak langsung akan ‘membunuh’ perkembangan sukan ini untuk jangka masa panjang,” katanya berharap lebih ramai terbuka menaja serta memberi perhatian kepada kewujudan atlit profesional dalam sukan BMX.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:03 AM