Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran rumah di  Kampung Berek, Jalan Bukit Marak, hari ini. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran rumah di Kampung Berek, Jalan Bukit Marak, hari ini. FOTO ihsan bomba
Maiamalina Mohamed Amin


Kota Bharu: Sebuah rumah musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Berek, Jalan Bukit Marak, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira 5.30 petang itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 5.52 petang dan enam jentera dikerah ke tempat kejadian.

Jentera membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Pasir Tumboh, Kota Bharu dan Tunjung dengan kekuatan 35 anggota.

"Jentera tiba pada 6.09 petang dan mendapati sebuah kediaman sudah 95 peratus musnah.

"Api dikawal 35 minit kemudian dan kebakaran tidak membabitkan kecederaan dan kemalangan jiwa," katanya di sini, hari ini.

Operasi tamat sepenuhnya pada 7.22 malam dan jumlah serta punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 11:35 PM