NOOR Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
NOOR Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sehingga semalam tiada kes selesema burung (H5N1) dikesan dalam kalangan manusia di Kelantan.

Ketua Pengarahya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan sudah melaksanakan aktiviti pengesanan kes secara aktif dalam kalangan manusia dalam lingkungan 300 meter radius dari tempat kejadian ayam mati lokaliti yang positif H5N1.

"Sehingga 15 Mac 2017, pemantauan sudah dijalankan kepada 3,556 penduduk, 133 anggota kesihatan dan 117 anggota Veterinar & agensi lain.

"Hasil pemantauan itu mendapati 14 orang yang bergejala adalah negatif H5N1 dan sudah diberikan rawatan antiviral," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak mengambil pelbagai langkah awal termasuk menjalankan aktiviti promosi kesihatan berkaitan penyakit selsema burung dalam lingkungan satu (1) km radius dari tempat kejadian ayam mati/lokaliti yang positif H5N1.

"Sehingga 15 Mac lalu, sebanyak 5,366 edaran risalah, 2,339 edaran Health Alert Card, 929 sesi perbincangan kecil yang membabitkan 3,214 penduduk, 1,526 sesi tunjuk cara, 200 nasihat individu, 88 hebahan awam,56 tampalan poster, 766 edaran ‘hand sanitizer’ dan lima ceramah dilakukan.

"Orang ramai yang gejala penyakit Selsema Burung termasuk demam tinggi (melebihi 38 darjah Celsius), sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi atau letih lesu dinasihatkan ke klinik berhampiran untuk pemeriksaan," katanya.

Noor Hisham berkata, KKM juga mengambil maklum keresahan orang ramai berhubung sama ada ayam selamat dimakan.

"Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ayam dan hasilan ayam adalah selamat dimakan sekiranya ia dimasak dengan sempurna iaitu pada suhu melebihi 70 darjah Celsium kerana virus H5N1 akan musnah pada suhu itu.

"Sehubungan itu, WHO menyarankan supaya ayam dan hasilan ayam disediakan dalam keadaan yang bersih dan dimasak pada suhu yang secukupnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 6:22 PM