KES H5N1 di sebuah ladang ayam di Shaoyang. FOTO Reuters.
KES H5N1 di sebuah ladang ayam di Shaoyang. FOTO Reuters.
Agensi

BEIJING: Kes selesema burung H5N1 dilaporkan berlaku di sebuah ladang di Shaoyang, wilayah selatan Hunan, di sini, semalam.

Channel News Asia melaporkan, Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Negeri mengesahkan kes itu berlaku di ladang menempatkan 7,850 ayam yang mana 4,500 daripadanya mati akibat selesema burung.

Susulan itu, pihak berkuasa tempatan mengambil langkah memusnahkan 17,828 ayam secara keseluruhan.

Pihak berkuasa tempatan juga menyediakan langkah pencegahan yang perlu untuk mengatasi wabak itu.

Awal minggu ini, pihak berkuasa di India bertindak memusnahkan ayam dan telur yang mengandungi virus berkenaan.

Menurut pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wabak selesema burung di China pada 2013 menyebabkan Amerika Syarikat (AS) menanggung kerugian ekonomi sebanyak US$6.5 bilion (RM26.6 bilion).

H5N1 berlaku ketika China sedang bergelut menangani wabak koronavirus baharu yang merebak di seluruh dunia, bermula di bandar Wuhan, terletak di wilayah Hubei.

Wabak itu mengakibatkan lebih 300 kematian di China dengan jumlah keseluruhan 14,000 kes.

Pegawai tertinggi Parti Komunis di Wuhan menyatakan kekesalannya pada Jumaat berikutan tindakan lewat yang diambil pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu berkenaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan wabak kecemasan kesihatan global, tetapi tidak mengesyorkan sebarang sekatan perdagangan atau perjalanan antarabangsa.

Lebih 20 negara merekodkan kes wabak berkenaan dan kebanyakannya kini berusaha membawa pulang rakyat mereka termasuk menggunakan pengangkutan udara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 1:05 PM