AFP

London: Mauricio Pochettino memberi amaran kepada Chelsea bahawa keinginan Harry Kane (gambar) untuk menjaringkan lebih banyak gol akan membantu Tottenham terus mengejar pasukan pendahulu ketika saingan memburu kejuaraan semakin sengit.

Kane menjaringkan dua gol bagi membolehkan skuad Pochettino merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris Chelsea kepada tujuh mata dengan kemenangan 3-2 ke atas Everton di White Hart Lane, kelmarin.

Selepas menjaringkan gol ke-24 dalam 28 penampilan, Kane meluahkan kekecewaannya gagal mencatat hatrik keempat dalam 10 perlawanan terakhirnya.

Sikap berani mati Kane mencerminkan keinginan utuh Pochettino untuk menjulang kejuaraan, maka bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pengurus Spurs itu merancang memintas Chelsea.

“Saya agak kecewa dengan penyudah perlawanan ini namun kami mendominasi perlawanan ke atas pasukan dengan pemain hebat,” katanya.

“Perkara paling penting adalah membuktikan di padang apa yang kami yakini. Hari ini kami membuktikannya. Ia lebih baik daripada bercakap mengenainya.

“Kami perlu berada di puncak. Tentu sekali ia bukan bergantung kepada kami tapi jika kami terus bermain seperti ini pada akhirnya matlamat itu mampu dicapai apabila Chelsea tersungkur.

“Memang benar bukan mudah buat pasukan sampai ke tahap ini dengan cara kami bermain ketika ini.

“Kami rasa begitu yakin. Ia satu detik istimewa. Perasaannya begitu istimewa. Bagi kami penting untuk kekal sebegitu demi masa depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 10:05 AM