KANE (kiri) menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Arsenal di Wembley, Sabtu lalu. — FOTO EPA
KANE (kiri) menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Arsenal di Wembley, Sabtu lalu. — FOTO EPA
AFP

HARRY Kane menegaskan mereka sedia melupakan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris ketika bintang England itu kelihatan bersemangat memacu pasukannya ke suku akhir Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund, awal pagi Rabu ini.

Dalam tempoh tujuh hari, impian Tottenham memenangi Liga Perdana terencat dengan kekalahan di Burnley dan Chelsea serta seri pada pertembungan musuh setempat utara London menentang Arsenal, Sabtu lalu.

Ia kegagalan terbaru Tottenham ketika peluang dilihat paling cerah buat mereka sejak Mauricio Pochettino mengambil alih lima tahun lalu.

Mujurlah tindakan Hugo Lloris menyelamatkan sepakan penalti saat akhir daripada Pierre-Emerick Aubameyang berjaya menghalang Arsenal mencetus kekalahan ketiga berturut-turut Tottenham.

Namun Kane yakin Tottenham mampu bangkit daripada minggu yang mengecewakan dan mencabar pasukannya menggunakan aksi kedua, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Dortmund sebagai pemangkin untuk mempercepatkan kebangkitan mereka.

“Dua keputusan mengecewakan dalam seminggu, ini perlawanan sempurna, pertembungan musuh setempat utara London untuk menggambarkan keinginan dan membuktikan kepada penyokong kami sedia berjuang hingga hujung musim,” kata Kane, yang menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti menentang Arsenal.

“Satu mata, kami mahukan tiga tapi ia menamatkan rentetan kekalahan dan kami boleh fokus terhadap Dortmund dan kemudian Southampton.

“Dalam beberapa minggu ini kami tertekan tapi kami pernah melakukannya sebelum ini dan setiap perlawanan adalah besar.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 6:56 PM