POCHETTINO (kanan) berang Guardiola menggelarkan Spurs “pasukan Harry Kane”.
POCHETTINO (kanan) berang Guardiola menggelarkan Spurs “pasukan Harry Kane”.
AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola bertindak menenangkan Mauricio Pochettino selepas pengurus Manchester City itu dituduh tidak menghormati rakan sejawatnya dari Tottenham Hotspur itu.

Pochettino berang apabila Guardiola baru-baru ini menggambarkan Spurs sebagai ‘pasukan Harry Kane’ selepas menyenaraikan Tottenham, Chelsea dan Manchester United sebagai ancaman utama City bagi kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Penyerang England, Kane sudah menjaringkan 11 daripada 21 gol Tottenham dalam semua kejohanan musim ini dengan sembilan gol disumbatkan dalam lima perlawanan terakhir untuk negara dan kelab.

Prestasi hebat itu menyaksikan Kane sudah menjaringkan gol dalam tiga perlawanan terakhir buat Spurs lantas mencetuskan pendapat yang mengatakan pasukan itu hanya mengharapkan kepada seorang pemain.

GUARDIOLA anggap Spurs antara pencabar kejuaraan liga.
GUARDIOLA anggap Spurs antara pencabar kejuaraan liga.

Pochettino menyifatkan apa yang dikatakan Guardiola sebagai tidak menghormatinya namun bekas pengurus Barcelona itu berkata, dia tidak berniat untuk memperkecilkan pengurus dari Argentina itu.

“Saya tidak pernah tidak menghormati rakan sekerja saya. Saya tidak pernah kurang rasa hormat dalam sidang media. Tidak akan,” kata Guardiola.

“Apabila saya bercakap mengenai pasukan Harry Kane, ia adalah kerana Harry Kane banyak menjaringkan gol. Dan saya tahu dengan baik yang Tottenham bukan mengenai Harry Kane seorang.”

Guardiola yang skuad bimbingannya berada di tangga teratas liga menjelang aksi dengan Stoke City, malam ini berkata dia sentiasa pantas untuk memberi pujian terhadap Tottenham yang menamatkan saingan di kedudukan kedua, musim lalu.

“Saya fikir pada musim lalu, orang yang paling banyak memuji cara permainan Tottenham adalah saya,” kata Guardiola.

“Apabila mereka tewas kepada Chelsea di separuh akhir Piala FA musim lalu, saya berkata ia menakjubkan kerana Chelsea memperoleh empat cubaan tepat ke gawang dan menjaringkan empat gol.“Seperti yang saya katakan, Tottenham adalah salah satu pasukan terbaik. Jadi saya amat kecewa dia berkata seperti itu. Saya tidak tahu apa yang dia katakan tetapi saya tidak pernah tidak hormat dengan rakan sekerja saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 12:36 PM