AFP

MAURICIO Pochettino (gambar) berkata, balas dendam tidak berada dalam minda pemain Tottenham Hotspur apabila skuad bimbingannya bersedia untuk bersemuka dengan seteru London, West Ham dalam perlawanan yang berpotensi ‘panas’, esok.

Impian Spurs untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu berakhir apabila tewas 1-0 kepada Hammers di Stadium London, Mei lalu.

Di sebalik kekalahan awal musim ini kepada Chelsea pada aksi di laman sementara Wembley, Spurs ketika ini sedang menghuni tangga kelima liga dengan Pochettino berkata pemainnya sudah melupakan kekecewaan musim lalu.

“Kami semua amat kecewa,” kata pengurus Tottenham itu. “Kami berjuang untuk gelaran Liga Perdana Inggeris. Ia bukan prestasi terbaik kami, namun kini adalah musim dan keadaan yang berbeza.

“Kami semua amat teruja untuk bermain dan cuba untuk menang tiga mata.

“Kamu tahu bahawa perlawanan tetangga amat istimewa. Ia lebih bermakna daripada hanya tiga mata apabila bermain dengan Arsenal, West Ham atau Chelsea.

“Mereka amat bermotivasi. Kerana itu apa yang berlaku minggu lalu atau sebelum ini tidak penting.”

Tottenham akan mendapat semula khidmat pemain pertahanan kiri, Ben Davies yang pulih daripada kecederaan buku lali.

Sementara itu, Pochettino yang berharap untuk bersaing merebut kejuaraan liga buat musim ketiga berturut-turut menepis dakwaan bekas pengurus, Tim Sherwood yang mengatakan penyerang bintangnya, Harry Kane akan meninggalkan kelab itu jika mereka tidak menang sebarang trofi musim ini.

“Harry adalah salah seorang penyerang terbaik di dunia. Ramai orang bercakap dia perlu menang trofi untuk terus kekal bersama kami.

“Kesemuanya cukup jelas dengan Harry di mana orang mengetahui nilainya. Dia masih antara pemain terbaik. Tetapi dia sayangkan Tottenham dan mahu bermain di sini untuk tempoh yang lama.

“Saya menghormati semua pendapat. Tim juga ada hak untuk bercakap mengenai Tottenham dan Harry.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 4:12 PM