Rizal menunjukkan laporan polis dibuat.
Rizal menunjukkan laporan polis dibuat.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam, Rizal Ayub membuat laporan polis Isnin lalu berhubung tindakan seorang individu lelaki yang didakwa menyalahgunakan nama dan gambarnya untuk memperdaya wanita.

Rizal, 29, berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru, Subang selepas dimaklumkan oleh beberapa mangsa.

"Saya menyedari perkara itu pada 18 Februari lalu. Saya membuat laporan polis kerana ingin melindungi diri. Saya tak mahu lebih ramai wanita menjadi mangsa, malah ada di antara mereka sudah termakan pujuk rayu lelaki itu.

"Saya difahamkan modus operandi individu itu menyasarkan wanita berkerjaya dan meminta wang daripada mereka. Kalau tak dimaklumkan mengenai perkara ini memang saya tak tahu.

"Mujur beberapa mangsa tergerak hati menghantar mesej di Facebook bagi mendapatkan kepastian," katanya.

Menurut Rizal, aktiviti penipuan itu dilakukan individu terbabit menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Namun, akaun Facebook yang menggunakan nama Afiq Zahar dengan memaparkan gambar Rizal itu sudah dipadam.

"Saya pernah menghantar mesej kepada individu itu dan memberi amaran kepadanya supaya berhenti menyalahgunakan gambar saya. Malangnya dia hanya menjawab 'siapa saya?

"Saya juga cuba menghubunginya tetapi gagal. Tidak lama selepas itu, dia menyekat nombor saya. Namun, saya dimaklumkan oleh rakan, individu itu masih lagi menggunakan gambar saya pada paparan gambar profil," katanya.

Rizal juga menjelaskan dia sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

"Saya yakin ada ramai lagi wanita yang menjadi mangsa, cuma baru beberapa orang saja yang mengadu kepada saya. Jadi, saya berharap dengan adanya laporan polis ini individu itu berhenti daripada meneruskan perbuatan kejinya itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 6:54 PM