GAMBAR Syeikh Zakaria digunakan syarikat pinjaman wang. FOTO ihsan FB LZNK
GAMBAR Syeikh Zakaria digunakan syarikat pinjaman wang. FOTO ihsan FB LZNK
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau syarikat pinjaman wang yang menyalahgunakan gambar Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syeikh Zakaria Othman untuk memperdaya orang ramai.

Syeikh Zakaria berkata, beliau sudah membuat laporan polis kelmarin supaya siasatan dapat dilakukan terhadap syarikat terbabit yang dikhuatiri tidak wujud.

"Pihak LZNK menyedari perkara ini selepas menerima maklumat awam berkenaan penyalahgunaan gambar saya di poster iklan di Facebook (FB) membabitkan pinjaman mudah dan segera.

"Gambar yang digunakan seolah-olah menunjukkan saya bekerjasama dengan syarikat terbabit untuk mempromosikan sebarang skim, sedangkan tiada pembabitan saya mahupun LZNK.

"Saya ingat dalam bulan lalu saja ada empat gambar saya disalahgunakan bagi tujuan tertentu. Jadi, kita buat laporan polis dan hantar surat amaran (supaya tidak menyalahgunakan gambar)," katanya ketika mengulas mengenai gambarnya yang disalahgunakan dalam iklan syarikat pinjaman wang di FB.

Syeikh Zakaria menegaskan beliau ataupun LZNK sama sekali tidak terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam perkhidmatan ditawarkan sebuah syarikat pinjaman wang itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya sudah melantik peguam bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Terdahulu, Syeikh Zakaria ditemui selepas Majlis Agihan Wakalah Zakat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah bersama Menteri Besar Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 6:08 PM