PAPAGOMO terima RM5,000 sebulan.
PAPAGOMO terima RM5,000 sebulan.
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Blogger Papagomo, Parpukari dan The Unspinners dibayar RM5,000 sebulan bagi memantau kandungan media sosial dan menangkis fitnah serta tohmahan yang dilemparkan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.

Bayaran itu dibuat oleh bekas pegawai khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor, 46, menggunakan wang RM100,000 yang diterima daripada isteri bekas Perdana Menteri berkenaan.

Selain blogger, beberapa individu dan pengendali laman Facebook turut dibayar antara RM1,500 dan RM3,000 sebulan bagi memantau kandungan media sosial yang kritikal dan memberikan perspektif negatif terhadap Rosmah.

Perkara itu disahkan Rizal ketika disoal peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah berhubung jumlah bayaran yang dibuat terhadap pasukan cybertrooper yang ditubuhkan antara 2012 hingga 2018.

Rizal berkata, sebanyak RM3,000 dibayar kepada 12 hingga 15 blogger, manakala pengendali Facebook atau "Facebookers" seramai lebih 30 individu menerima bayaran antara RM1,500 dan RM2,000.

"Saya bayar ketua pasukan (Team Leader) seperti Papagomo dan Parpukari RM5,000 sebulan," katanya.

Ketika diminta menyenaraikan nama blogger dan individu yang menerima bayaran selain daripada Papagomo, Parpukari dan The Unspinners, Rizal menjawab: "Tidak ingat."

"Tapi kalau Datuk nak senarai, saya cuba buat senarai," katanya.

Menjawab soalan Jagjit, berhubung resit bayaran kepada pasukan cybertrooper, Rizal memberitahu beliau tidak mempunyai sebarang resit pembayaran.

Mendengar jawapan itu, Jagjit mencadangkan Rizal tidak menyediakan resit pembayaran kerana mengambil sebahagian daripada wang RM100,000 berkenaan untuk kegunaan sendiri.

Rizal: Tidak setuju.

Jagjit: Setuju sebagai pegawai yang bertanggungjawab, setiap bayaran perlu ditandatangan?

Rizal: Setuju

Jangjit: Sepanjang tempoh berkenaan (2012-2018), tiada satu pun resit bayaran ditandatangan?

Rizal: Betul

Jagjit: Tak nak tandatangan sebab anda mengambil sebahagian daripada duit itu?

Rizal: Tak setuju

Jagjit kemudian menyebut beberapa nama individu yang mendakwa tidak mendapat bayaran daripada Rizal

Mendengar nama-nama itu, Rizal mengakui bayaran tidak dibuat kepada mereka.

Jagjit: Anda menuntut wang tetapi tidak membuat bayaran kepada mereka?

Rizal: Tak setuju

Ketika dicadangkan bahawa beliau mengambil wang berkenaan untuk membiayai kehidupan mewahnya serta memasukkan ke dalam Yayasan Perdana Ummah, Rizal sekali lagi menjawab: "Tidak bersetuju".

Rosmah, 68, didakwa meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 4:42 PM