Koh (kanan) dan Kelvin (dua, kanan) berbincang dengan peguam mereka di Mahkamah Seksyen Seremban. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Koh (kanan) dan Kelvin (dua, kanan) berbincang dengan peguam mereka di Mahkamah Seksyen Seremban. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdagangkan tiga lelaki warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi kerja paksa, sejak tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat Koh Mee Soon, 60, yang berdepan satu pertuduhan dan manakala Kelvin Wong Jia Fung, 24, dengan dua pertuduhan di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, Koh didakwa memperdagangkan Seno, 26, bagi maksud eksploitasi kerja paksa di ladang sawit, Site C, Chuah, Port Dickson, antara Februari 2016 hingga 6 Februari lalu.

Manakala Kelvin pula didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap Hendra dan Epi Hendri masing-masing berusia 35 tahun di lokasi dan pada masa yang sama.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, M Sivam dan Mohamad Zahid Ahmad.

Mahkamah membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 6:25 PM