NORHAMIZAH sasar jualan RM100,000 produk Le Glam Premix.
NORHAMIZAH sasar jualan RM100,000 produk Le Glam Premix.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Le Glam Beaute, syarikat milik Bumiputera sepenuhnya yang merevolusikan produk berasaskan kecantikan memperkenalkan produk terbarunya, Le Glam Premix yang dihasilkan untuk pengguna yang mementingkan kesihatan.

Pengasasnya, Norhamizah Mohd Khairi berkata, produk berkenaan adalah hasil gabungan bahan semula jadi khususnya buah-buahan yang bertujuan untuk memberikan pengguna manfaat khasiat daripada bahan yang digunakan.

“Antara bahan utama yang digunakan adalah strawberi, blueberi, oren serta diadunkan dengan kurma, madu dan delima. Semua bahan berkenaan mempunyai khasiat tersendiri terutama dalam memberikan tenaga kepada pengguna,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurutnya, produk Le Glam Premix mempunyai 20 peket dalam satu kotak berharga RM150 dan ia mudah digunakan kerana dihasilkan dalam bentuk cecair sesuai untuk kegunaan mereka yang mempunyai jadual harian yang padat.

“Tidak seperti kebanyakan produk lain di mana pengguna perlu membancuh dengan sukatan yang betul, tetapi Le Glam Premix ini dihasilkan dalam bentuk cecair dan sedia diminum selain sesuai untuk kanak-kanak berusia 12 tahun,” katanya.

Norhamizah berkata, pihaknya menjangkakan untuk mencapai jualan sehingga RM100,000 sebulan dalam tempoh setahun dengan setiap stokis mencapai jualan sebanyak 100 kotak setiap bulan.

“Dalam tempoh enam bulan, kami menjangkakan untuk mendapat stokis di setiap negeri dan sekiranya angka berkenaan dicapai, kami positif untuk mencapai sasaran jualan sehingga RM100,000 setiap bulan,” katanya sambil menambah untuk maklumat lanjut boleh lawati Facebook dan Instagram @leglambeaute_official..

Sementara itu, pihaknya kini menjalankan kempen secara dalam talian bagi membolehkan pengguna setia mendapat bekalan secara percuma.

“Melalui kempen ini, pengguna hanya perlu berkongsi gambar mereka di media sosial dan mendapatkan tiga rakan untuk membeli produk Le Glam Premix.

“Sekiranya mereka berjaya memperkenalkan tiga pembeli baru produk ini, maka mereka akan mendapat satu kotak produk ini secara percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 10:08 AM