Rosnani menunjukkan produk utama keluaran syarikatnya.
Rosnani menunjukkan produk utama keluaran syarikatnya.

Kuala Lumpur: Qisbella House (Qisbella House) menyasarkan untuk mencapai keuntungan RM45,000 bagi produk utamanya iaitu BB Cream pada setiap bulan berdasarkan sambutan diterima dalam kalangan pengguna sejak enam bulan lalu.

Pengarah Urusannya, Rosnani Arshad berkata, syarikat berjaya mencatatkan jualan memberangsangkan iaitu 10 hingga 15 unit kotak produk BB Cream pada setiap hari dengan purata nilai jualan RM10,000 sebulan.

“Kami yakin untuk mencapai sasaran jualan itu kerana ia dihasilkan dengan formulasi terbaik dan mampu membantu mencerahkan kulit wajah, mengecutkan jerawat dan menghilangkan parut serta bersesuaian dengan semua individu kerana mengikut jenis darah pengguna,” katanya pada Bisnes Metro di sini.

Produk BB Cream Qisbella memiliki pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihasilkan di kilang yang memiliki sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM45 sekotak.

Beliau berkata, syarikatnya kini memiliki lima stokis di lima negeri iaitu Lembah Klang, Johor, Perak, Sarawak dan satu stokis di Brunei dalam tempoh setahun lalu dan berhasrat untuk melantik 50 ejen di seluruh negara menjelang hujung tahun ini serta stokis di setiap negeri untuk tempoh jangka panjang.

Pelantikan lebih ramai ejen salah satu langkah syarikat untuk meluaskan rangkaian pemasaran dan jualannya memandangkan sebelum ini ia dijual secara kecil-kecilan serta melalui perkhidmatan atas talian.

“Kami juga memiliki perancangan menerokai pasaran luar negara, namun fokus kini terarah mengukuhkan jenama ini di pasaran tempatan melalui pelantikan ejen, aktiviti promosi di media cetak dan elektronik serta penyertaan melalui acara jualan di lokasi tertentu,” katanya.

Qisbella House sebuah syarikat penjagaan kecantikan dan kesihatan milik Bumiputera yang mula ditubuhkan pada tahun lalu dan kini ia memiliki tiga produk utama iaitu BB Cream, Gold Serum Colagen dan Pearl Colagen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 5:36 AM