Antara mesin judi yang dirampas oleh polis. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
Antara mesin judi yang dirampas oleh polis. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Kerian : Tiga premis Pusat Hiburan Keluarga (PHK) sekitar Kerian yang menjalankan operasi tanpa lesen sah, diserbu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian, Maksiat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, petang semalam.

Pegawai Turus D7 IPK Perak, Deputi Superintendan Annadurai Veloo berkata, dalam serbuan serentak bermula jam 4 petang di dua premis di Bagan Serai dan sebuah premis di Parit Buntar dekat sini, pihaknya berjaya merampas 86 mesin dipercayai berunsur perjudian.

Katanya, turut ditahan 13 penjaga premis warga tempatan serta 50 pelanggan dalam operasi membabitkan empat pegawai dan 23 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Katanya lagi, dari jumlah itu lapan individu yang ditahan adalah warga negara asing iaitu dua lelaki dan satu perempuan warga negara Indonesia serta lima lelaki warga Bangladesh kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Selain itu sejumlah wang tunai sebanyak RM2,730 turut dirampas dari premis berkenaan.

"Kesemua yang ditahan berserta mesin yang dirampas dibawa ke IPD Kerian untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1995.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 11:31 AM