Polis menggempur premis judi simulator terbesar di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jelutong, Shah Alam. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Polis menggempur premis judi simulator terbesar di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jelutong, Shah Alam. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Siraj Mohd Zaini


POLIS menggempur premis judi simulator terbesar di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jelutong, Shah Alam, 9 malam tadi.

Serbuan dilakukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor diketuai Pegawai Turusnya, Deputi Superintendan Norhizam Bahaman.

Premis yang berselindung di sebalik Pusat Hiburan Keluarga (PHK) itu mempunyai 12 mesin simulator pelbagai permainan seperti 'wukong', BMW dan Bola Nombor.

Menurut sumber, ketika serbuan dilakukan kira-kira 50 pelanggan sedang leka berjudi di premis berkenaan.

"Premis berkenaan dilengkapi dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu keselamatan.

"Tindakan segelintir pihak yang masih membuka premis perjudian itu dianggap mencabar pihak berkuasa selepas arahan penutupan September lalu," katanya.

Sumber berkata, semua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Shah Alam untuk diambil keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 11:29 PM