Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Dua daripada lapan remaja yang cedera dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Mahmoodiah di sini, Sabtu lalu dijangka dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) petang hari ini.

Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Aman Rabu berkata, mereka ialah Mohammad Farhan Che Mat, 16 dan Muhammad Zulfadli Yusri, 19.

Beliau berkata, manakala enam lagi mangsa yang masih menjalani rawatan iaitu Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 17, Abdul Samad Abdul Kadir, 16, Muhammad Arif Salman, 15, Muhammad Arasshat Abdullah, 14,  serta dua mangsa masih berada di unit rawatan rapi (ICU) iaitu Mohamed Shamizal Iqmal Abdullah, 16, dan Muhd Nazri Mahmudi, 13.

Menurutnya, kedua-dua pesakit itu dibenarkan pulang atas kebenaran doktor yang merawat mereka.

"Daripada enam mangsa yang ditempatkan di wad, empat sudah menjalani pembedahan.

"Dua lagi mangsa yang akan menjalani pembedahan akibat kecederaan dialami dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md Ariff yang melawat mangsa yang cedera di hospital berkenaan di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 1:13 PM