BERNAMA

Johor Bahru: Empat daripada lapan remaja yang cedera dalam kemalangan ketika berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam di sini dua hari lalu, dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Aminah (HSA), hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata mereka ialah Muhamad Farhan Che Mat, 16, Muhammad Zulfadli Yusri, 19, Abdul Samad Abdul Kadir, 16, dan Muhammad Arasshat Abdullah, 14.

"Setakat ini, empat remaja disahkan dibenar keluar hospital, dua di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan keadaan masih sama (kritikal) manakala dua lagi di wad untuk menerima rawatan serta fisioterapi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ayub berkata dua mangsa yang masih berada di ICU ialah Mohamed Shamizal Iqmal Abdullah, 16, dan Muhd Nazri Mahmudi, 13.

Dua lagi mangsa yang berada di wad ialah Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 17, dan Muhammad Arif Salman, 15.

Kemalangan menimpa kumpulan remaja terbabit berlaku pada 3 pagi, menyebabkan lapan maut manakala lapan lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh dilapor sebagai berkata mereka antara 20 dan 30 remaja yang dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan jalan sekitarnya sebelum dirempuh kereta dipandu wanita.

Beliau berkata, pemandu itu yang dari arah Taman Pelangi dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan remaja berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 8:55 PM