MANGSA ditemui di dapur flet yang terbakar. FOTO ihsan Bomba
MANGSA ditemui di dapur flet yang terbakar. FOTO ihsan Bomba
Mary Victoria Dass


LELAKI mualaf melecur 80 peratus apabila terperangkap dalam kebakaran di flet keluarganya di Jalan Sejahtera 16, Taman Desa, Skudai, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Mohd Azrai Yahaya berkata, mangsa ditemui rebah di dapur flet berkenaan.

Beliau berkata, operasi pemadaman api dijalankan 20 anggota bomba menggunakan tiga jentera termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Pekan Nenas dan Kulai.

Menurutnya, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada 12.10 tengah hari tiba di tempat kejadian enam minit kemudian dan berjaya mengawal api dalam tempoh 12 minit.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa, Mohamad Tan Chai Wah Abdullah, 51, dan bekerja sebagai pengawal keselamatan berseorangan di rumah, manakala isteri dan anaknya berurusan di luar.

"Ketika kami tiba, rumah berkenaan sudah 60 peratus musnah manakala mangsa ditemui melecur 80 peratus dan masih bernyawa.

"Mangsa diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Dua unit rumah jiran turut terbakar, namun hanya antara 10 hingga 20 peratus dan kami menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan nilai kerugian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 3:36 PM