NOR Aleeya Qalisyah bersama kembarnya, Muhammad Khalif ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA). FOTO Ihsan keluarga
NOR Aleeya Qalisyah bersama kembarnya, Muhammad Khalif ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA). FOTO Ihsan keluarga
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Kami hanya tinggal baki 19 hari untuk mengumpul dana secukupnya bagi pembedahan salah seorang daripada anak kembar kami yang masih bertarung nyawa di Hospital Sultanah Aminah (HSA)," kata Faiz Abdullah, 31.

Faiz berkata, dia dan isterinya, Maryuni Semaon, 27, reda dengan ujian Allah apabila salah seorang daripada anak kembar mereka diuji dengan masalah kesihatan.

Menurutnya, keadaan itu juga menyebabkan anak lelaki kembarnya, Muhammad Khalif dan kakak kembarnya, Nor Aleeya Qalisyah masih berpisah.

Ini kerana Nor Aleeya Qalisyah yang disahkan mengalami masalah saluran jantung tersumbat dan jantung berlubang masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Katanya, pada awalnya selepas dilahirkan Muhammad Khalif dikesan mengalami jangkitan kuman dan mendapatkan rawatan di HSA selama beberapa hari sebelum pulang ke rumah.

"Namun pada masa sama, Nor Aleeya Qalisyah juga terpaksa dikejarkan ke HSA kerana pernafasannya laju.

"Kami tidak sangka Nor Aleya Qalisyah didiagnos mengalami masalah saluran jantung tersumbat selain doktor mengesan jantungnya berlubang iaitu sebesar 8 hingga 9 milimeter.

"Susulan itu, Nor Aleeya Qalisyah menjalani pembedahan sebanyak dua kali di Institut Jantung Negara (IJN) termasuk bagi masalah saluran jantung tersumbat selain pembedahan bagi menyedut air berlebihan di jantung dengan kos RM100,000," katanya.

Faiz berkata, Nor Aleeya Qalisyah yang masih bergantung kepada bantuan oksigen juga bakal menjalani pembedahan jantung berlubang di IJN pada 21 Februari depan.

Menurutnya, kegagalan pembedahan itu boleh mengundang risiko bagi anak kembarnya itu pada bila-bila masa.

"Saya dan isteri menjaga Nor Aleeya Qalisyah dan dalam tempoh rawatan di HSA kami hanya berpeluang membawa Muhammad Khalif kurang lima minit untuk bertemu dengan kembarnya.

"Buat masa ini kami hanya mampu menunjukkan keadaan Nor Aleeya Qalisyah kepada Muhammad Khalif menerusi panggilan video.

"Kami bersyukur kerana sebelum ini Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menanggung sebahagian kos pembedahan selain kami juga menggunakan wang simpanan kira-kira RM30,000.

"Kami difahamkan anggaran kos pembedahan seterusnya adalah RM55,000," katanya.

Faiz berkata, dia bekerja sebagai pemandu lori dan memperoleh pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan manakala isterinya adalah suri rumah selain mereka juga memiliki dua lagi cahaya mata termasuk berusia tujuh dan tiga tahun," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Nor Aleeya Qalisyah menerusi akaun CIMB (7631044406).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 3:56 PM