GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Muar: Kelindan lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah di Taman Puteri, Kluang dekat sini, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin menjatuhi hukuman itu ke atas R Karuppu Samy, 36, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Muhammad Jamil dalam penghakimannya berkata, keterangan tertuduh yang tidak mengetahui kewujudan kotak hitam mengandungi dadah itu adalah jelas penafian semata-mata.

Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 657 gram di rumah beralamat No 46, Jalan Sutera 2/6, Taman Puteri, Kluang dekat sini pada 12.10 tengah malam, 20 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dua belas saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam Salmi Hamdan Sabran (HE).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 12:00 PM