Dua tertuduh dibawa keluar polis dari mahkamah. FOTO Iskandar Shah Mohamed
Dua tertuduh dibawa keluar polis dari mahkamah. FOTO Iskandar Shah Mohamed
Iskandar Shah Mohamed


DUA penuntut kolej warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar 3.5 kilogram (kg) dadah di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, Selangor, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, Mustafa Azmir, 28, dan Jude Nnamdi Achonye, 30.

Mengikut pertuduhan, mereka yang menuntut di sebuah kolej swasta di ibu negara didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine di pangsapuri itu pada 3.30 petang, 2 September 2014.

Justeru, dua sahabat itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan polis selepas didapati mengambil beberapa kotak berisi dadah berkenaan yang dihantar oleh sebuah syarikat penghantaran barangan di kawasan pangsapuri terbabit.

Abdul Halim dalam penghakimannya berkata, mahkamah meneliti keterangan seramai 13 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan selain 73 eksibit yang dikemukakan.

"Pihak pembelaan di akhir kes ini didapati gagal menimbulkan sebarang kes keraguan munasabah dan tiada keterangan yang menyangkal hujahan pendakwaan secara keseluruhannya.

“Selain itu, terdapat percanggahan keterangan antara kedua-dua tertuduh dan pembelaan mereka hanya bersifat penafian tanpa bukti kukuh," katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Rehan Mohd Aris manakala dua tertuduh diwakili peguam bela Leonard Anselm Gomes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 11:43 AM