Tuan Asri Tuan Hussein

Adilkah jika hukuman dijatuhkan tanpa perbicaraan atau tanpa tertuduh dipanggil membela diri? Itulah yang saya anggap berlaku ke atas perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride yang diasaskan dua anak muda Nabil Feisal Bamadhaj, 33, dan Shairazi Sulastry, 31.

Mula diperkenalkan kepada warga kota pada 17 November tahun lalu bagi melengkapi perkhidmatan pengangkutan awam di Kuala Lumpur, perkhidmatan itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

Pada hari pertama saja, Dego Ride menerima 300 tempahan pelanggan dan sehingga pertengahan bulan ini jumlahnya melonjak kepada 15,000 orang.

Jumlah penyedia perkhidmatan atau rider yang rata-rata menjadikan ia kerja sampingan untuk menambah pendapatan, turut meningkat daripada sekadar 1,500 orang pada dua minggu pertama kepada 6,000 sehingga minggu lalu.

Menurut pelanggan mereka menggunakan perkhidmatan teksi motosikal itu kerana ia amat berkesan mengatasi masalah kesesakan jalan raya di ibu kota, selain tambangnya yang murah iaitu RM2.50 bagi satu perjalanan yang jaraknya kurang tiga kilometer.

Malangnya, ketika perkhidmatan itu semakin menjadi pilihan kerana dianggap efisien terutama untuk golongan berpendapatan rendah, kerajaan memutuskan untuk mengharamkannya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Rabu lalu dilaporkan berkata, Kabinet membuat keputusan itu atas sebab keselamatan dan risiko kepada penumpang.

“Kita faham kenapa Dego Ride mewujudkan perkhidmatan ini, tetapi ia tidak sesuai di Malaysia sebab kerajaan sudah sediakan kemudahan pengangkutan awam yang cekap untuk rakyat seperti monorel, MRT dan komuter,” katanya.

Ironinya, ketika mengumumkan keputusan pengharaman itu Liow berkata pihaknya bagaimanapun sedia bertemu pengendali Dego Ride pada bila-bila masa, namun tetap dengan keputusan menghentikan perkhidmatan itu.

Bagi saya, kenyataan ini agak pelik kerana sepatutnya pertemuan serta perbincangan di antara Kementerian Pengangkutan dan Dego Ride dibuat sebelum kerajaan membuat keputusan untuk mengharamkan perkhidmatan disediakan syarikat itu.

Lebih pelik lagi, hanya sehari sebelum pengumuman pengharaman dibuat, Liow memberitahu pihaknya memberi tempoh tujuh hari kepada pengendali Dego Ride untuk berbincang mengenai perkhidmatan mereka dengan kementeriannya.

Namun, belumpun perbincangan dibuat dan belumpun cukup tempoh tujuh hari, ‘hukuman’ sudah dijatuhkan ke atas Dego Ride.

Inilah yang saya rasa amat tidak kena dan pelanggan Dego Ride serta pakar dalam bidang pengangkutan awam turut berkongsi pandangan yang sama.

“Dalam keadaan ekonomi ketika ini, ditambah isu kenaikan harga petrol, orang ramai memerlukan alternatif untuk ke lokasi yang sukar mendapat akses pengangkutan awam,” kata pengguna Dego Ride, Muhammad Faidhi Fadzil, 26, kepada media.

Seorang lagi pengguna, Nazrul Johari, 23, pula menyifatkan Kementerian Pengangkutan seolah-olah ‘pilih kasih’ sedangkan orang ramai memerlukan kepelbagaian perkhidmatan awam.

“Perkhidmatan Dego Ride hanya membabitkan lokasi dekat, jadi agak serba salah dan rugi kalau guna perkhidmatan GrabCar, Uber atau teksi,” katanya.

Pakar pengangkutan bandar Prof Datuk Dr Riza Atiq Abdullah O K Rahmat turut bersetuju jika keputusan pengharaman Dego Ride ditimbang semula.

“Kena beri peluang juga, ini kerana pengangkutan awam sedia di sesetengah kawasan masih belum menyeluruh,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Profesor Pusat Penyelidikan Pengangkutan Bandar Mapan (SUTRA), UKM Prof Amiruddin Ismail pula berkata, isu itu perlu dibincangkan ke peringkat Parlimen terlebih dulu dengan sokongan kajian mendalam dan menyeluruh.

Penulisan ini tidak bertujuan menyanggah atau mempertikaikan keputusan dibuat kerajaan tanpa sebab, sebaliknya ingin menegaskan bahawa pengendali Dego Ride berhak dan sepatutnya diberi peluang untuk bersuara.

Jika faktor keselamatan menjadi sebab utama mengapa Dego Ride diharamkan, bukankah lebih adil jika pengendali perkhidmatan teksi motosikal itu diberikan syarat yang wajib mereka patuhi supaya aspek keselamatan penumpang lebih terjamin.

Selain itu, kurang bijak jika khidmat Dego Ride dianggap tidak perlu dengan alasan kerajaan sudah sediakan kemudahan bas, monorel, MRT dan komuter.

Ini kerana, Nabil Feisal awal-awal lagi sudah menjelaskan Dego Ride bukan pengganti atau pesaing, sebaliknya pelengkap kepada perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota.

“Pengguna LRT contohnya, perlu menaiki bas transit untuk ke stesen tapi ada yang terpaksa berjalan kaki jika bas terlalu padat dengan penumpang.

“Di sini terletaknya fungsi Dego Ride. Sering berlaku, perjalanan itu terlalu jauh untuk mereka jika berjalan kaki, tetapi terlalu dekat pula untuk menaiki teksi,” katanya.

Justeru, tidak salah jika suara rakyat marhaen supaya pengharaman Dego Ride dikaji semula didengari pihak berkuasa, apatah lagi ketika ramai kini mengeluh dengan kos kehidupan yang semakin tinggi.

Diharapkan juga, tiada agenda tersembunyi di sebalik pengharaman Dego Ride dengan tidak semena-mena muncul perkhidmatan hampir sama pada masa akan datang namun disediakan oleh syarikat lain yang dikatakan lebih berwibawa dan khidmatnya lebih selamat.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 8:42 AM