Suraya Roslan dan Siti Fatimah Nasir


Petaling Jaya: Kementerian Pengangkutan masih belum membuat keputusan berhubung perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride sama ada dibenarkan atau diharamkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penggunaan perkhidmatan itu tertakluk kepada kebenaran Kementerian Pengangkutan dan agensi lain hanya mengikuti arahan daripada kementerian itu.

“Sebenarnya, penggunaan perkhidmatan ini (Dego Ride) adalah keputusan Kementerian (Pengangkutan), namun setakat ini masih belum ada apa-apa (keputusan).

“Ini semua terpulang kepada mereka (Kementerian Pengangkutan), agensi seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) hanya mengeluarkan permit, jadi kalau kementerian tidak membenarkan, SPAD tidak boleh keluarkan permit lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Wanita Sedunia anjuran SPAD di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Pusat Bandar Damansara, dekat sini, semalam.

Ketika ditanya berhubung kajian mengenai Dego Ride, Nancy berkata, tiada kajian berhubung perkhidmatan itu setakat ini.

“Tiada kajian lagi dibuat, namun ia terpulang kepada Kementerian Pengangkutan, kalau mereka perlukan kajian, kita akan laksanakan.

“Sehingga kini, kita hanya boleh teruskan (perkhidmatan Dego Ride) kalau Kementerian Pengangkutan setuju. Terpulang kepada kementerian untuk buat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi memaklumkan tindakan pengharaman Dego Ride berdasarkan faktor risiko.

Ab Aziz dalam laporan itu berkata, ia juga dipersetujui Kabinet dan pengendali perkhidmatan itu perlu mematuhinya atau berdepan tindakan penguatkuasaan.

Pada majlis itu, Nancy berkata, ramai wanita menceburkan diri dalam sektor perkhidmatan awam darat seperti pemandu teksi, kereta api, bas dan beberapa perkhidmatan lain.

“Bidang itu bukan tertakluk kepada lelaki saja, wanita juga boleh turut serta dan saya sebenarnya bangga dengan pencapaian golongan wanita dalam sektor ini.

“Tidak mustahil wanita boleh menguasai sektor ini yang dahulunya kita hanya lihat lelaki yang menjadi pemandu bas, teksi, kereta api dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut berharap semua wanita di negara ini dapat memainkan peranan untuk turut sama menyumbang dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 9:01 AM