NANCY (tiga dari kanan) bersama Dr Syed Hamid (empat dari kanan) pada majlis pelancaran Makmal Transformasi Bas Ekspres, semalam.
NANCY (tiga dari kanan) bersama Dr Syed Hamid (empat dari kanan) pada majlis pelancaran Makmal Transformasi Bas Ekspres, semalam.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan mengharamkan perkhidmatan Dego Ride di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Katanya, walaupun perkhidmatan itu dilihat sebagai sesuatu yang inovatif dalam industri pengangkutan awam negara, ia perlu dikaji secara teliti dulu.

“Kami kena kaji dulu tekanan pasaran Dego Ride sebagaimana perkhidmatan Uber kerana ia dilihat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna, selain platform kepada golongan berpendapatan bawah 40 peratus (B40) menjana pendapatan sampingan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Transformasi Bas Ekspres, di sini, semalam.

Rabu lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju keputusan kementerian berkenaan mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride atas faktor keselamatan.

Nancy berkata, keputusan itu disuarakan Kementerian Pengangkutan untuk melarang perkhidmatan Dego Ride belum muktamad, justeru, ia terbuka kepada penilaian dan perbincangan lanjut.

“Saya ingin mengambil pendekatan neutral dalam isu Dego Ride ini kerana kita tidak mahu menyekat inovasi pengangkutan awam di Malaysia.

“Berhubung apa dikatakan Kementerian Pengangkutan sebelum ini, setahu saya kabinet belum ada kata putus lagi untuk mengharamkan Dego Ride,” katanya.

Selasa lalu, Dego Ride mengarahkan semua penunggang motosikalnya menghentikan operasi serta-merta atas arahan Kementerian Pengangkutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 8:23 AM