NABIL Feisal  menaiki motosikal yang menggunakan perkhidmatan Dego Ride yang menjadi viral di media sosial, baru-baru ini.
NABIL Feisal menaiki motosikal yang menggunakan perkhidmatan Dego Ride yang menjadi viral di media sosial, baru-baru ini.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: “Kami sudah menasihat dan mengeluarkan pekeliling kepada 6,000 penunggang Dego Ride supaya menghentikan perkhidmatan mengambil penumpang,” tegas pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj, 33, mengenai pengharaman teksi motosikal itu oleh Kementerian Pengangkutan.

Nabil Feisal berkata, tindakan pengharaman itu dianggap tidak wajar berikutan ia memberi pendapatan tambahan untuk penunggang, namun pihaknya akur dengan larangan itu.

“Sebaik menerima maklumat mengenai pengharaman ini, saya terus mengeluarkan pekeliling kepada penunggang kami supaya berhenti mengambil penumpang.

“Bagaimanapun, ada antara mereka masih mengambil penumpang dan saya tidak dapat menghalangnya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, setakat ini, dia dimaklumkan tiga penunggangnya sudah disaman anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyamar sebagai pelanggan.

“Saya akan bertanggungjawab dengan saman berkenaan dan menasihatkan mereka berhenti mengambil penumpang sehingga kami berbincang dengan kementerian dan JPJ.

“Sepanjang lebih tiga bulan beroperasi, lebih 15,000 pelanggan direkodkan yang rata-rata dari Lembah Klang,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mengarahkan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan dan kesalahan membawa orang awam dan mengutip bayaran.

Nabil Feisal akur dengan arahan kerajaan dan akan berbincang dengan pihak berkaitan supaya Dego Ride dapat diterima di peringkat undang-undang negara.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, orang ramai terutama pengguna perlu memikirkan keselamatan diri jika terjadi perkara tidak diingini.

“Ini kerana jika berlaku kemalangan, tiada perlindungan insurans selain tiada jaminan keselamatan.

“Saya faham kebanyakan penunggang Dego Ride melakukan pekerjaan ini untuk menambah pendapatan, tetapi apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 5:11 AM