AFP

Kuala Lumpur: Seramai 22 pemain serta pegawai dari Laos dan Cambodia dikenakan pengharaman seumur hidup dan antara hukuman terbesar pernah tercatat dalam sejarah bola sepak Asia kerana mengatur perlawanan.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata tindakan itu dibuat selepas siasatan dilakukan bermula pada 2014 malah hukuman itu juga akan dikuatkuasakan ke seluruh dunia.

"Jawatankuasa Disiplin AFC mengenakan hukuman seumur hidup berkaitan akitiviti bola sepak kepada 22 individu daripada Laos dan Cambodia atas penyertaan dan manipulasi perlawanan membabitkan wakil daripada pasukan Laos dan kelab Lao Toyota FC," menurut satu kenyataan dikeluarkan lewat petang semalam.

"Penyiasatan AFC terhadap manipulasi perlawanan membabitkan wakil pasukan Persekutuan Bolasepak Lao yang dilakukan pada 2014 dan masih berterusan," kata kenyataan itu lagi.

15 diharamkan itu adalah bekas pemain skuad antarabangsa Laos atau kelab Lao Toyota yang berpangkalan di Vientiane, menurut AFC.

Laos beraksi dalam tiga perlawanan Piala Solidariti tewaskan Sri Lanka 2-1 dan Mongolia 3-0 tetapi tewas 4-1 kepada Macau.

Pemain Asia yang mendapat bayaran rendah termasuk pegawai sudah lama terdedah kepada usaha serta kecenderungan kepada pengatur perlawanan untuk memanipulasi perlawanan bagi tujuan pertaruhan.

Antara pernah dikenakan tindakan adalah China yang mengharamkan 33 pemain dan pegawai seumur hidup pada 2013 berikutan penyiasatan tiga tahun terhadap rasuah yang berlaku dalam liga domestik.

Pada 2007 dua pemain bola sepak Vietnam dipenjara dan enam menjalani penggantungan kerana terbabit mengatur perlawanan B-23 menentang Myanmar pada Sukan SEA 2005.

Juara Liga Liga AFC tahun lalu, Jeonbuk Hyundai Motors dikenakan pengharaman daripada beraksi saingan tahun ini kerana terbabit mengatur perlawanan Liga-K Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 1:54 PM