BWF mengumumkan hukuman itu hari ini. FOTO FB BWF
BWF mengumumkan hukuman itu hari ini. FOTO FB BWF
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hukuman terhadap beberapa pemain badminton sebelum ini berikutan terbabit dalam konspirasi mengatur perlawanan jelas tidak menggetarkan beberapa pihak apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berjaya mengesan individu yang terbabit dalam aktiviti berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Siasatan BWF selama setahun berjaya menghidu perbuatan tiga pemain Indonesia yang terbabit dalam konspirasi mengatur perlawanan seterusnya dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan badminton.

Lebih mengejutkan lagi, terdapat seorang warganegara Malaysia dipercayai daripada sebuah syarikat peralatan sukan terkenal turut dikenakan hukuman berkenaan atas kesalahan sama.

Selain itu, lima pemain beregu Indonesia juga didapati bersalah melanggar peraturan integriti dengan dikenakan hukuman penggantungan antara enam hingga 12 tahun selain turut didenda antara AS$3,000 (RM12,000) dan AS$12,000 (RM48,000).

Menurut kenyataan BWF, semua lapan pemain itu yang sebelum ini menyertai kejohanan peringkat antarabangsa di Asia pada 2019 serta tahun lalu tidak dibenarkan menyerai sebarang pertandingan bagi memberi laluan kepada proses siasatan.

"Tiga daripadanya didapati bersubahat dan mengatur perlawanan membabitkan pemain lain menyebabkan mereka digantung dari semua aktiviti berkaitan dengan badminton seumur hidup," katanya.

Berikutan itu, mereka diberi peluang untuk mengemukakan rayuan berkaitan keputusan berkenaan di Mahkamah Timbang Tara Sukan dalam tempoh 21 hari.

Sementara itu, individu daripada Malaysia yang menjadi wakil eksekutif jenama peralatan sukan yang menaja pemain antarabangsa juga dikenakan hukuman seumur hidup selepas didapati bersalah menawarkan wang kepada pemain untuk memanipulasi perlawanan.

"Sebelum ini Unit integriti BWF sudah mengumpul maklumat termasuk menyiasat individu itu selama beberapa tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 5:56 PM