Salah seorang pengadil Kenya yang mengadili aksi Liga Perdana negara itu. FOTO Agensi
Salah seorang pengadil Kenya yang mengadili aksi Liga Perdana negara itu. FOTO Agensi
AFP

Nairobi: Kenya mengumumkan penggantungan sementara lima pengadil utama liga bola sepak mereka kerana didakwa terbabit dalam pengatur perlawanan dan memanipulasi keputusan liga kebangsaan.

Dua daripada pengadil yang digantung, Raymond Onyango dan Isaac Memusi, turut disingkirkan dari senarai pengadil Fifa pada permulaan musim ini selepas gagal dalam ujian kecergasan perlawanan.

Persekutuan Bolasepak Kenya (FKF) berkata keputusan itu dibuat untuk memelihara integriti sukan itu, yang menjadi tumpuan selepas empat pemain digantung - salah seorang daripada mereka menjalani hukuman seumur hidup - oleh Fifa pada Februari 2020 kerana terbabit "konspirasi antarabangsa dalam pengatur perlawanan liga."

"Jabatan Integriti persekutuan, dengan bantuan Fifa, telah mengadakan penyiasatan menyeluruh membabitkan individu terbabit dengan usaha untuk menyekat pembabitan mereka, dalam sebarang urusan, dalam amalan manipulasi perlawanan terbabit," kata Setiausaha Kehormat FKF Barry Otieno dalam satu kenyataan.

Pada Mei lalu, Fifa mengumumkan penyingkiran kelab bola sepak utama Kenya, Zoo Kericho dari Liga Perdana musim ini selepas didapati bersalah dalam pengatur perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 9:17 PM