Gambar tular yang mendakwa suspek kes ragut ditahan polis. FOTO ihsan pembaca
Gambar tular yang mendakwa suspek kes ragut ditahan polis. FOTO ihsan pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis menafikan suspek kes ragut yang menyebabkan kematian seorang wanita di Kampung Pak Elong, Tangok di Bachok, pagi tadi ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, suspek kes ragut berkenaan belum ditangkap.

Katanya, pihaknya masih mengesan suspek dan polis giat menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

"Tular tangkapan suspek di WhatsApp sejak tengah hari tadi adalah tidak benar kerana suspek sebenar belum dapat ditahan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menerusi tular itu, seorang lelaki tanpa pakaian duduk dan dikelilingi penduduk kampung dan polis.

Dalam kejadian ragut jam 8.15 pagi tadi, Siti Rohani Wahab, 54, maut ketika mengejar penjenayah sejauh 800 meter sebelum motosikalnya terbabas dan melanggar tiang elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 7:08 PM