AB Rahman  menunjukkan senapang buatan sendiri yang dirampas di rumah  seorang suspek.
AB Rahman menunjukkan senapang buatan sendiri yang dirampas di rumah seorang suspek.

Bachok: Polis kini memburu dua lelaki selepas disyaki terbabit dalam kejadian pecah masuk bilik penyimpanan senjata dan mencuri kelongsong peluru seberat 100 kilogram di Lapang Sasar Gunong, Bachok, milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 10 Februari lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, orang awam yang kebetulan lalu di kawasan itu melihat lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan dengan memanjat pagar lapang sasar itu yang terletak di kawasan perkampungan tanpa disedari pengawal yang berkawal di pintu masuk. Orang awam yang menyedari kejadian itu, kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, dua suspek ini dikenali sebagai Mohd Noor Zaridam Mamat, 31, dan Mohamad Fauzie Che Bakar, 30, masing-masing dari Kampung Keting dan Kampung Lubuk Kuin, Gunong yang tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian.

Katanya, dua suspek itu dipercayai mengetuai kumpulan yang memecah masuk bilik berkenaan pada hari kejadian.

“Sehingga kini, kita sudah menahan lima suspek berusia 20-an dan merampas satu senapang buatan sendiri untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh terus menghubungi Inspektor Noor Syazana Zainail di talian 09-7788222,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ab Rahman berkata, polis Kelantan percaya suspek kes ragut yang menyebabkan seorang wanita maut di Kampung Pak Elong, Tangok, di sini, masih berada di negeri ini.

“Kami sedang mengumpul maklumat melalui kenyataan saksi yang turut berada di lokasi kejadian. Setakat ini kita belum terima apa-apa petanda positif ke arah suspek, namun kita percaya suspek masih berada di Kelantan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 9:00 AM