PEMAIN Bayern, Philipp Lahm (kiri) diasak dua pemain  Ingolstadt.
PEMAIN Bayern, Philipp Lahm (kiri) diasak dua pemain Ingolstadt.

Berlin: Carlo Ancelotti menyatakan kemenangan 2-0 Bayern Munich ke atas Ingolstadt, menerusi gol saat akhir daripada Arturo Vidal dan Arjen Robben adalah penyuntik semangat sempurna bagi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Arsenal awal pagi Khamis ini.

Skuad Gunners bertandang ke Arena Allianz dalam apa yang disifatkan Robben sebagai ‘minggu kebenaran’ selepas pendahulu liga Jerman itu bergelut dengan prestasi hambar sejak beberapa minggu kebelakangan.

Vidal memecah kebuntuan dengan menyelinap menembusi pertahanan Ingolstadt dan meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-90.

Robben menjaringkan gol 60 saat kemudian untuk memastikan kemenangan dalam pertembungan setempat Bavaria.

“Ia kemenangan amat penting bagi kami dan memberikan keyakinan menjelang Rabu (awal pagi Khamis),” kata pengurus Bayern Ancelotti.

“Kami perlu memberikan segala-galanya, kami memberikan segala-galanya dan gembira dengan keputusan ini.

“Kami perlu menunjukkan karakter dan mentaliti sama ke atas Arsenal. Itulah kuncinya.”

Misi mereka untuk kemenangan Bundesliga berturut-turut musim ini dibantu pencabar mereka apabila kekalahan RB Leipzig, Eintracht Frankfurt dan Borussia Dortmund membolehkan Bayern mendahului tujuh mata. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 6:31 AM