BAYERN perlu guna seluruh kekuatan jika mahu mara.
BAYERN perlu guna seluruh kekuatan jika mahu mara.

Berlin: Pemain berpengalaman Arjen Robben menyatakan Bayern Munich mesti meningkatkan permainan mereka pada pertembungan pusingan kedua, perlawanan pertama Liga Juara-Juara menentang Arsenal ketika masa semakin suntuk buatnya untuk sekali lagi menjulang trofi Eropah.

Pemain berusia 33 tahun itu menyumbat gol kemenangan Bayern pada final 2013 di Wembley bagi memastikan kemenangan 2-1 ke atas Borussia Dortmund.

Dia mempunyai kontrak bersama Bayern hingga Jun 2018, namun masa semakin suntuk buat pemain sayap Belanda yang mudah cedera itu untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara sekali lagi.

Selepas memenangi kejuaraan liga Inggeris dan Sepanyol di Chelsea dan Real Madrid, Robben yang beraksi di Bayern sejak 2009, memenangi trofi Bundesliga lima kali dan Piala Jerman empat kali.

Musim terbaiknya bersama Bayern adalah kempen emas 2012-13.

Dia menjadi tonggak utama dengan 13 gol dalam 31 perlawanan apabila Bayern muncul kelab pertama Jerman memenangi tiga kejuaraan Eropah, liga domestik dan piala serta memenangi Bundesliga dengan jurang 19 mata.

Robben menjaringkan gol ketika menang 4-0 di laman sendiri ke atas Barcelona dan 3-0 di gelanggang lawan di Nou Camp pada malam penuh gemilang buat kelab Bavaria itu.

Sejak itu, Robben dan Bayern terkandas pada separuh akhir di Eropah di tangan Barcelona, Real Madrid dan kemudian Atletico Madrid dalam tiga musim terakhir di bawah kendalian Pep Guardiola.

“Jika kami mahu menang sesuatu musim ini, kami perlu bermain dengan cara berbeza,” katanya.

“Jika kami tidak bermain dengan lebih bagus menentang Arsenal, ia pasti amat sukar.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 9:51 AM