ANCELOTTI (tengah) bersama pemain meraikan kejayaan selepas tamat perlawanan.
ANCELOTTI (tengah) bersama pemain meraikan kejayaan selepas tamat perlawanan.
AFP

Berlin: Carlo Ancelotti memuji kejayaan menakjubkan Bayern Munich menjulang lima gelaran Bundesliga berturut-turut selepas pasukan itu membelasah Wolfsburg yang beraksi dengan 10 pemain 6-0 untuk menjulang gelaran itu dengan baki tiga perlawanan.

“Musim Bundesliga ini adalah pengalaman menakjubkan,” kata Ancelotti yang meraih gelaran itu pada musim pertamanya di Jerman selepas kemenangan di Wolfsburg membolehkan Bayern mendahului 10 mata di depan RB Leipzig.

Robert Lewandowski menjaringkan dua gol manakala David Alaba, Thomas Mueller, Joshua Kimmich dan Arjen Robben turut merobek gol lawan ketika Bayern membelasah lawan mereka yang berada di ambang penyingkiran di Volkswagen Arena.

Bagi Ancelotti, 57, ia adalah trofi ke-19 yang dijulangnya sebagai pengurus dengan memberikan Bayern gelaran liga ke-27, lebih 18 berbanding mana-mana kelab Jerman.

Jurulatih itu kini menjulang gelaran liga di empat negara berbeza selepas menjuarai Serie A dengan AC Milan, Liga Perdana Inggeris dengan Chelsea, dan Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain.

“Saya amat gembira, kemenangan ini amat penting dan satu pengalaman menakjubkan,” kata Ancelotti.

“Pasukan menjalankan tugas dengan baik dan saya ingin berterima kasih kepada kelab yang hebat ini.

“Saya bertuah dapat berada di sini bersama pemain hebat serta peminat yang memberikan kami sokongan luar biasa sepanjang musim.

“Kami berhak menjulang gelaran, kami bermain bola sepak dengan baik.

“Kini masanya untuk meraikan dan selepas itu bersiap sedia untuk musim baru sebaik mungkin.”

Di sebalik kejayaan menjulang gelaran itu, Ancelotti menyedari musim pertamanya di Bavaria akan dibayangi oleh kegagalan Bayern di tangan Real Madrid pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara dan kekalahan separuh akhir Piala Jerman kepada Borussia Dortmund di laman sendiri.

Kejayaan Bundesliga itu dianggap satu sagu hati selepas kekalahan 2-3 kepada Dortmund minggu lalu yang menafikan peluang Ancelotti mengulangi pencapaian teraju sebelumnya Pep Guardiola dengan dua gelaran domestik pada musim pertamanya.

Presiden Bayern Uli Hoeness berkata satu gelaran ‘sudah terlalu lewat’ buat kelab yang sentiasa dahagakan kejayaan tetapi pengerusinya Karl-Heinz Rummenigge memuji kejayaan pasukan melebarkan penguasaan kepada lima gelaran berturut-turut. AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 9:45 AM