JUPP HEYNCKES
JUPP HEYNCKES

JUPP Heynckes kembali daripada persaraan apabila dilantik untuk mengendalikan Bayern Munich buat kali keempat namun ada pelbagai andaian terhadap kemampuan jurulatih itu mengembalikan prestasi terbaik pasukannya.

Pengerusi kelab, Karl-Heinz Rummenigge tetap yakin dengan terhadap kemampuan Heynckes mengetuai Bayern sehingga akhir musim ini selepas Carlo Ancelotti dipecat.

Namun beberapa individu senior bola sepak Jerman nyata masih ragu dengan kemampuan pengendali berusia 72 tahun itu terutama selepas melihat bintang utama kelab ketika muncul juara trebel pada 2012/13 seperti Arjen Robbern, 33, dan pemain sering dilanda kecederaan Franck Ribery, 34, semakin berusia.

“Pengalaman cukup penting, Jupp Heynckes dan barisan kejurulatihan beliau melakukan perkara betul (ketika 2013),” kata bekas jurulatih Jerman, Berti Vogts.

“Namun ketika bermain, pengalaman bukan segala-galanya terutamanya ketika melakukan serangan. Pemain seperti Arjen Robben dan Franck Ribery tidak lagi cukup untuk bola sepak di peringkat tertinggi.

“Mereka tidak lagi berani melakukan cabaran seperti yang pernah dilakukan, terutama di tempat lawan.”

Jurulatih Jerman, Joachim Loew bimbang dengan prospek yang akan dihadapi Heynckes.

“Pada kebanyakan tahap, pengalaman amat berharga seperti emas dalam bola sepak, tetapi bukan semuanya berlaku,” kata Loew.

“Dalam pasukan, ia tidak sepatutnya sesuatu yang terlalu ditekankan. Anda juga perlu pastikan semua perkara harus berada dalam keadaan terbaik dan dinamik untuk kembali kompetitif.”

Sebelum ini, Ancelotti dipecat selepas mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan termasuk kekalahan 3-0 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 11:46 AM