Cheng Hoe harap pertahanan lebih mantap. FOTO HM
Cheng Hoe harap pertahanan lebih mantap. FOTO HM
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah bakal membuat percaturan baru bertemu Felda United dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, malam esok terutama membabitkan penjaga gol.

Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe, Kedah bakal menurunkan sama ada Ifwat Akmal atau Abdul Hadi Hamid pada perlawanan itu dalam usaha memperkemaskan benteng pertahanan berbanding perlawanan lalu.

"Saya berharap dengan penggantian penjaga gol kali ini dapat meningkatkan lagi keyakinan dan persembahan oleh benteng pertahanan namun saya perlu lihat dahulu laporan tahap kecergasan Ifwat Akmal esok sebelum membuat keputusan sama ada beliau boleh diturunkan atau tidak.

"Saya yakin barisan skuad Helang Merah kali ini lebih bersedia berbanding perlawanan lalu di mana terdapat beberapa kesilapan individu yang perlu diperbaiki sebelum pertemuan dengan skuad 'The Fighters' ini," katanya.

Katanya, secara keseluruhan, berdasarkan semangat juang tinggi dan keyakinan yang ditunjukkan oleh barisan pemain Kedah kini, beliau optimis pemain mampu meraih keputusan yang lebih positif.

"Kekalahan 0-2 kepada Felda United pada awal musim tahun lalu di stadium yang sama juga memberi pengajaran untuk lebih berwaspada dan berbekalkan semangat pasukan yang berada pada tahap yang baik setelah menjulang Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih baru baru ini membangkitkan lagi inspirasi memburu kejayaan.

"Cuma untuk kali ini, saya mahu pemain lebih berhati-hati dengan ancaman yang mampu dikejutkan oleh Felda United kerana mereka mempunyai corak serangan pantas yang bahaya dan walaupun tewas kepada JDT minggu lalu, mereka tetap menampilkan permainan yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 5:54 PM