PEMAIN Negeri Sembilan FC, Mohd Zaquan Adha (kanan) dikawal dua pemain KDA FC pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Darul Aman. FOTO Luqman Hakim Zubir
PEMAIN Negeri Sembilan FC, Mohd Zaquan Adha (kanan) dikawal dua pemain KDA FC pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Darul Aman. FOTO Luqman Hakim Zubir
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal memanfaatkan peluang aksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) pada saingan perlawanan pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kedah yang cuba bangkit melalui penampilan lebih ramai pemain muda ternyata begitu bersemangat mahu membuktikan sesuatu di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih, Victor Andrag yang memulakan tugasan pertama pada malam ini.

Beraksi dalam keadaan hujan, benteng tuan rumah terlebih dahulu diuji oleh NSFC melalui percubaan seawal minit ke-2 oleh penyerang Yasir Pinto dalam kotak penalti, namun percubaannya berjaya dihalang penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal.

Kedah akhirnya mengejutkan pelawat apabila berjaya menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-7 melalui percubaan pemain sayap, Fayadh Zulkifli menewaskan penjaga gawang NSFC, Syihan Hazmi selepas pertahanan NSFC gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Kedua-dua pasukan terus berusaha memburu gol dalam keadaan hujan namun tidak berhasil sehingga tiga minit terakhir babak pertama apabila NSFC akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui pemain pertahanan Che Rashid Che Halim.

Bersambung babak kedua, Kedah terus menekan benteng NSFC melalui percubaan Mahmoud Al Mardi pada minut ke-52 namun percubaannya berjaya diselamatkan Syihan Hazmi.

Gawang NSFC terus diuji dengan percubaan tandukan oleh Ronald Ngah pada minit ke-63 namun percubaan itu terkena palang.

NSFC sekali lagi berjaya menambah gol untuk memimpin perlawanan melalui tandukan pemain import berpengalaman, Matheus Alves pada minit ke-66 menewaskan Ifwat Akmal.

Beberapa percubaan dilakukan tuan rumah untuk kembali bangkit menyamakan kedudukan namun gagal menghasilkan gol tanbahan dan kedudukan 1-2 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 12:00 AM