Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang meneliti kira-kira 18 kes berkaitan penyebaran berita tidak sahih mengenai banjir.

Daripada jumlah itu, lapan individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi, berkata penyebaran maklumat palsu berkaitan banjir melalui media sosial perlu dihentikan kerana perbuatan itu boleh mengganggu tugas pasukan penyelamat.

Menurutnya, penyebaran maklumat sedemikian boleh menjurus kepada usaha menyelamat dan memberi bantuan ditujukan buat pihak yang sebenarnya tidak memerlukan bantuan.

“Ia menyebabkan kepincangan di segi aktiviti nak menyelamat kerana maklumat disampaikan tidak tepat.

“Cuba bayangkan selepas mandapat maklumat, pasukan keselamatan akan bergerak untuk menyelamat mangsa secepat mungkin tetapi jika maklumat itu palsu, akhirnya orang yang benar-benar memerlukan bantuan pasukan penyelamat tidak dibantu. Apa perasaan mereka,” katanya.

Mohamed Sharil berkata demikia ketika ditemu bual Bernama Radio24 menerusi telefon dalam rancangan ‘Dalam Radar’, malam tadi.

Beliau menarik perhatian bahawa biarpun pelbagai nasihat dan inisiatif dilaksanakan, pihaknya dalam mendidik masyarakat, namun trend penyebaran maklumat palsu melalui media sosial masih berlaku. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 12:42 AM