Cyberjaya: Penyebaran maklumat tidak sahih dan palsu di laman sosial hanya menyukarkan lagi usaha menyelamat dan membantu mangsa banjir.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata pihaknya sudah berulang kali mengingatkan pengguna supaya tidak berkongsi atau menyebarkan berita yang tidak disahkan kerana perbuatan seperti itu akan mengeruhkan keadaan dan mengelirukan masyarakat.

“Ia akan menyebabkan kekeliruan dalam operasi bantuan. Bukan itu saja, ahli keluarga mangsa banjir yang terkandas akan bertambah risau dan panik.

"Niat untuk membantu dengan menyampaikan maklumat memang baik, tetapi sebelum menyebarkannya, tanyalah diri sendiri sama ada ia akan benar-benar membawa kebaikan atau memburukkan lagi keadaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamed Sahril berkata, SKMM bersama syarikat telekomunikasi giat membaik pulih talian yang terganggu dengan menggunakan generator dan kenderaan ‘Cellular on Wheels’ atau COW di kawasan yang tidak dinaiki air.

“Orang ramai juga diminta mengurangkan penggunaan telefon bimbit di kawasan banjir bagi menjimatkan penggunaan kuasa bateri. Jika berlaku kecemasan, ia boleh digunakan untuk meminta bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 5:29 PM