Cyberjaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( SKMM) meminta seorang pemilik akaun Facebook (FB) bernama Sharifah Sofia Syed Rashid untuk hadir ke SKMM bagi membantu proses siasatan berhubung penyebaran maklumat yang belum ditentukan kesahihannya dalam akaun Facebooknya.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati wujud akaun ā€ˇFacebook menggunakan profil Sharifah Sofia Syed Rashid yang digunakan untuk penyebaran maklumat yang belum ditentukan kesahihannya.

Jelas beliau, analisis yang dijalankan turut mendapati, pemilik berkenaan juga disyaki menggunakan pelbagai profil seperti Sharifah dan Kapten Sharifah untuk tujuan yang sama.

Menurutnya, maklumat-maklumat yang disebarkan dalam akaun FB tersebut bukan saja palsu bahkan berupaya menjejaskan ketenteraman awam.

"Justeru, SKMM meminta mana-mana pengguna media sosial yang mempunyai maklumat mengenai pemilik akaun FB tersebut untuk tampil membantu siasatan.

"Mana-mana pihak yang cuba menyebarkan maklumat palsu di media sosial boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 211 atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," tegasnya.

Dalam pada itu, pengguna media sosial yang mendapati akaun mereka disalahguna untuk membuka akaun palsu adalah dinasihatkan untuk melaporkannya kepada pihak FB agar akaun palsu mereka itu boleh ditutup.

Mereka juga boleh melaporkan perkara itu kepada SKMM di e-mel [email protected]. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 4:25 PM