PILIHAN 10 rekaan eksklusif Aliff by Sha.
PILIHAN 10 rekaan eksklusif Aliff by Sha.
PILIHAN kain sutera satin yang selesa dan tidak panas.
PILIHAN kain sutera satin yang selesa dan tidak panas.
ANTARA pilihan rona lembut.
ANTARA pilihan rona lembut.
INSPIRASI Aliff hasilkan rekaan buat isteri tercinta, Shahida.
INSPIRASI Aliff hasilkan rekaan buat isteri tercinta, Shahida.
Rahayu Mohd Salleh

“Kain ini memang bermutu tinggi dan mahal malah tudung ini antipekak dan antipanas.” Lucu kedengarannya tetapi itulah antara celoteh Datuk Aliff Syukri Kamarzaman sewaktu memperkenalkan koleksi terkini tudung keluarannya, baru-baru ini.

Aliff sebenarnya merujuk kepada kain satin yang digunakan sebagai material tudung koleksi terkini diberi nama Aliff by Sha yang bakal menjengah pasaran Februari ini.

“Pemilihan kain satin sutera lantaran kain terbabit tidak mudah tertarik apabila disemat pin malah beratnya kain menjadikan kepala pemakai kelihatan mengecil. Ini berbeza dengan kain satin berkualiti rendah yang membuatkan tudung mengembang pada wajah,” katanya.

Mengetengahkan 10 rekaan eksklusif tudung pada majlis peragaan ringkas petang Rabu lalu, Aliff menyatakan kain tudung koleksi premium terbabit memastikan pemakai bukan saja selesa malah ia tidak panas manakala telinga pula tidak berasa seperti berdengung - kelaziman apabila mengenakan sesetengah tudung daripada kain satin.

Dan jika ramai yang menyangka ini koleksi terawalnya, hakikatnya ia bukanlah koleksi sulungnya kerana koleksi terdahulu mula diperkenalkan pada awal Januari lalu yang sekadar diuar-uarkan di media sosial.

Label Aliff by Sha, menurutnya, lahir daripada hobinya yang gemar melukis dan apabila lukisannya dipaparkan di Facebook dan Instagram kira-kira dua bulan lalu, ramai pula yang menggemarinya. Ia dimulakan dengan rekaan buat isteri tersayang diikuti dengan beberapa ratus helaian tudung untuk pengikutnya sebelum mengeluarkan sejumlah 10,000 helaian koleksi sulungnya yang menerima maklum balas cukup memberangsangkan.

Bermodalkan sekitar RM80,000 untuk pengeluaran koleksi sulungnya, label yang diuruskan oleh Shahida dan pereka Ezly Marzuki ini mengetengahkan konsep bunga-bungaan dan abstrak, sama seperti koleksi terdahulu yang turut menyelitkan rekaan bercorak geometri juga sentuhan elemen haiwan misalnya corak bulu burung dan sisik ikan tampak unik dan berbeza.

“Tudung dengan bidang 45 ini pula bukan saja agak lebar terutama sesuai untuk mereka yang mahu melabuhkan kain tudung pada bahagian dada malah pasukan kami turut mencipta kelainan menerusi evolusi dua warna pada satu tudung.

“Ini tentu sekali menjimatkan kerana satu tudung boleh menghasilkan dua padanan warna berbeza. Lebih eksklusif kerana setiap corak hanya ada 1,000 helai saja di pasaran, oleh itu untuk Februari, hanya ada 10,000 helai yang mewakili 10 rekaan eksklusif berbeza.

“Rekaan ini pula silih berganti saban bulan bagi mencipta pilihan eksklusif di pasaran tetapi meskipun eksklusif, koleksi ini hanya berharga RM99 bagi memberi peluang lebih ramai pengguna untuk memilikinya.

“Apa yang saya mahukan, pembeli memiliki tudung ini kerana kualiti dan rekaannya apatah lagi ia 100 peratus ilham kami dan bukannya tiruan mana-mana rekaan lain,” katanya.

Bakal menyusul pula koleksi Platinum Edisi Terhad dan Bawal bagi mempelbagaikan pilihan jenama fesyen Aliff Syukri manakala perancangan lain juga membabitkan pengeluaran tudung labuh dan telekung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 3:02 AM