LAMBANG kasih sayang diungkapkan menerusi lakaran dalam rekaan corak selendang.
LAMBANG kasih sayang diungkapkan menerusi lakaran dalam rekaan corak selendang.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Meskipun rekaan baru tudung dan selendang kerap muncul di pasaran seakan-akan cendawan tumbuh selepas hujan, namun hijab bercorak eksklusif dengan elemen mewah tetap menjadi pilihan utama Muslimah yang mementingkan gaya.

Peka dengan senario itu, pengeluar tudung jenama Veena Hijab kini menampilkan koleksi selendang premium dengan rekaan eksklusif dan unik, menggunakan cetakan digital, bertemakan Cinta Pandang Pertama.

Pengasasnya, Veena Azmi berkata, rekaan unik itu mendapat sambutan menggalakkan berikutan ramai wanita semakin mementingkan nilai, penampilan penuh gaya dan pilihan persalinan eksklusif, sesuai dengan kemampuan diri.

Malah, beliau sendiri mengakui sentiasa tertarik kepada fesyen unik dan berbeza untuk digayakan. Dari situ terbitnya ilham untuk Veena menghasilkan rekaan tersendiri, khusus buat wanita moden yang berhijab.

SUTERA MEWAH

Melihat sendiri hamparan koleksi Veena baru-baru ini, wanita itu cukup teruja memperkenalkan selendang cetakan digital yang kini mencipta populariti dalam kalangan pengikut fesyen semasa.

Menggunakan fabrik sutera satin, Veena berkata, koleksi selendang panjang itu adalah gambaran perasaan cinta yang tersemat indah dalam hatinya dan mahu dikongsi dengan semua wanita.

“Bunga mendefinisikan perasaan cinta, emosi dan kasih sayang. Ia media paling tepat untuk kita melahirkan rasa cinta dan kasih kepada insan tersayang.

“Lambang cinta itu diungkapkan kembali menerusi lakaran dan karya dalam rekaan corak selendang. Selain perasaan cinta, bunga juga menterjemahkan erti kemanisan, kekuatan dan kepercayaan. Semua itu ada dalam koleksi kali ini,” katanya yang turut mencipta nama sebagai pereka hijab popular di Brunei.

Berkenaan fabrik, jelas Veena, dia sengaja memilih sutera satin kerana selesa dipakai untuk tempoh lama, sejuk dan lembut. Ia juga mudah disuai padan dengan busana polos untuk ke majlis atau bersantai bersama keluarga.

“Selendang sepanjang dua meter ini tampak mewah dengan kemasan cetakan digital. Ia juga mempunyai kemasan tepi bermotifkan abstrak potongan laser bagi menambahkan lagi pesona kepada pemakai.

“Apabila menggunakan kemasan potongan laser, bermakna tiada jahitan mesin digunakan. Secara tidak langsung, selendang ini nampak lebih kemas dengan sentuhan mewah, elegan dan berkualiti tinggi. Paling utama, ia menambah keunikan dan ciri eksklusif yang ada pada setiap helaian yang kita hasilkan,” katanya.

Koleksi ini didatangkan dalam lima warna pastel dan satu warna hitam (bold). Antaranya, Bamboo Leaves dengan warna asas putih gading bermotifkan daun pokok buluh dan kipas palas kehijauan.

Pemilihan warna lembut seperti krim pada koleksi Bloomy Bouquet, kelabu untuk koleksi Frosty Bloom dan biru lembut pada Garden Valley pula menyerlahkan lagi motif bunga, menjadikan ia nampak lebih menonjol dan hidup.

Kata Veena, kejayaan mengetengahkan rekaan terkini dan menempa nama di pentas fesyen antarabangsa sempena Minggu Fesyen Dunia Malaysia baru-baru ini, turut memberi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan rekaan selendang bersesuaian dengan tema minggu fesyen itu, ‘Love The Nature, Love The World’.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 12:40 PM