Anggota TNI siap siaga di Markas TNI AL Manggar untuk meneruskan operasi SAR selapas ditangguhkan kerana cuaca buruk. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
Anggota TNI siap siaga di Markas TNI AL Manggar untuk meneruskan operasi SAR selapas ditangguhkan kerana cuaca buruk. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
Indonesia


Manggar, Belitung Timur: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Markas Tentera Nasional Indonesia (TNI) AL Manggar, di sini, hanya mampu menunggu untuk meneruskan operasi pencarian pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di sekitar perairan Bangka-Balitung kerana cuaca buruk.

Komandan Markas TNI AL Manggar Leftenan Jeneral Purwanto berkata, keadaan cuaca semasa di perairan Bangka-Belitung tidak membenarkan pasukan SAR untuk keluar lebih awal bagi mengesan kedudukan terakhir pesawat itu.

"Dalam keadaan cuaca begini, jarak penglihatan anggota pasukan amat kurang untuk menjalankan operasi.

"Kami juga tidak mahu merisikokan pasukan SAR untuk terus berlayar menjalankan operasi dalam keadaan angin kuat dan berombak," katanya pada sidang media di Markas TNI AL Manggar, di sini.

Bagaimanapun, menurut Purwanto, hanya pasukan TNI AL dan pasukan bantuan daripada negara lain seperti Malaysia, Singapura, Korea Selatan serta China yang tiba pagi semalam dibenarkan untuk meneruskan operasi.

"Hal ini kerana kelengkapan dan peralatan dimiliki jauh lebih besar selain kemampuan mengharungi cuaca sebegini," katanya.

Menurutnya, pasukan SAR di bawah seliaannya tidak dibenarkan untuk ke laut adalah disebabkan kebanyakan pengangkutan digunakan adalah bot nelayan bersaiz sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 1:26 PM